suria

Pelajar Malaysia di Yemen Berkurung Berikutan Serangan

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di Aden, Yemen kini berkurung di kediaman masing-masing berikutan serangan udara diketuai Arab Saudi bersama jiran sekutunya pada pagi Khamis. 

Menurut seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Seiyun, Hadhramaut, kira-kira 800 kilometer dari Sana'a, Aden, semua pelajar bertindak sedemikian bagi menjaga keselamatan masing-masing. 

"Saya kurang pasti siapa yang mengeluarkan nasihat tersebut, tetapi perkara itu disebar dalam kalangan komuniti pelajar di sini," katanya kepada Bernama menerusi Facebook.

Beliau yang enggan dikenali menyatakan para pelajar berada dalam keadaan baik.

Buat masa ini, beliau masih tidak berniat untuk meninggalkan Yemen dan mengikuti perkembangan semasa melalui Facebook 'Persatuan Pelajar Malaysia Yemen'.

Facebook page berkenaan menyatakan kejadian berlaku jauh dari penempatan warga Malaysia di Sana'a.

Laporan asing menyebut serangan dilakukan bagi mengekang kemaraan pemberontak Houthi.

Presiden Yemen, Abd-Rabbu Mansour Hadi dilapor meninggalkan Aden untuk ke Arab Saudi pada Khamis ketika puak pemberotak bertempur dengan pasukannya di pinggir bandar raya pelabuhan selatan.

Wisma Putra turut memaklumkan warga Malaysia selamat dari serangan, yang disahkan Kedutaan Malaysia di Sana'a.


Artikel Lain