suria

Kereta Elektrik Idea Terbaharu Untuk Pengguna LRT

KUALA LUMPUR: Bermula Mei ini, pengguna LRT akan dapat menyewa kereta elektrik selama beberapa jam dari lima stesen LRT di Lembah Klang, selain menggunakan teksi atau bas untuk pergi ke lokasi seterusnya.

Urusan 'perkongsian kereta' itu diusahakan oleh RapidKL dan syarikat kereta elektrik Comos (Cohesive Mobility Solution) untuk memberikan pilihan lain kepada pengguna pengangkutan awam untuk bergerak dari satu stesen ke tempat lain. 

"Anda boleh mengambil kereta di stesen LRT Pasar Seni dan memandunya untuk menghadiri mesyuarat di CapSquare atau Lorong P Ramlee," kata Ketua Pegawai Eksekutif Comos Badrulhisham Mohd Ghazali.

Beliau berkata Comos Carsharing, yang pertama seumpamanya di Malaysia akan mempunyai sehingga 16 buah kereta elektrik sepenuhnya, Renault Zoes, di lima stesen LRT dan lima tempat awam apabila ia mula diperkenalkan pada bulan Mei.

Pengguna Comos boleh mengambil salah sebuah daripada kereta yang ada, memandu ke suatu tempat dan 'memegangnya' selama beberapa jam sebelum memandunya pulang. Mereka juga boleh memulangkan kereta itu di salah sebuah daripada 10 hentian Comos di Lembah Klang.

Kemudahan ini akan berada di Asia Jaya, Bangsar, Pasar Seni dan Stesen LRT Ampang Park dan di Medan Tuanku, Lorong Bunus, Lorong P Ramlee, Universiti Teknologi Malaysia Jalan Semarak dan Universiti Malaya.

Setiap 15 minit penggunaan adalah dengan kadar setiap jam di antara RM25 dan RM30.

Pengguna perkhidmatan ini perlu mendaftar terlebih dahulu dengan Comos sebelum mereka diberi kad akses khas dan akaun untuk dihubungkan dengan kad kredit mereka.

Mereka kemudian perlu menempah kereta yang ada secara dalam talian, yang membolehkan mereka membuka kunci dengan kad akses sebelum mereka mula memandu.

Hentian khas Comos juga bertindak sebagai stesen mengecas bateri, di mana pengguna Comos perlu 'mencabut'nya sebelum memulakan setiap perjalanan.

Bateri yang penuh membolehkan kereta Comos membuat perjalanan antara 120km ke 180km.

Badrulhisham berkata pemanduan Comos hanya berakhir apabila kabel pengecasan telah dipasang semula, jika tidak, pengguna akan terus dikenakan caj.

Comos, katanya, akan memperluaskan perkhidmatannya ke Pulau Pinang, Melaka dan Johor Baru, dengan lebih 1,000 kenderaan untuk digunakan orang ramai pada tahun 2020.

Lebih banyak perhentian akan dilancarkan setiap bulan selepas bulan Mei.

Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Azmi Abdul Aziz berkata Comos Carsharing adalah salah satu daripada langkah untuk memudahkan orang awam bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

"Ini adalah pengenalan baharu bagi menjadikan pengangkutan awam lebih menarik," katanya.

Artikel Lain