Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata sebanyak 56 kes denggi dilaporkan dari 15 hingga 21 Mac berbanding 74 kes dari 8 hingga 14 Mac lepas.
"Secara kumulatif setakat 21 Mac sebanyak 1,359 kes denggi dilaporkan berbanding 490 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas. Lima kematian direkodkan tahun ini berbanding tiga kematian tahun lepas," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.
Beliau berkata sembilan lokaliti wabak terkawal dikenal pasti iaitu Jay Series Condominium di daerah Timur Laut; daerah Barat Daya di Lintang Bukit Kecil, Persiaran Bukit Kecil, Taman Sahabat, Apartmen Lavinia; di Seberang Perai Tengah ialah Taman Permatang Tinggi, Taman Alma, Perkampungan Berapit; dan Telok Air Tawar di Seberang Perai Utara.
Beliau berkata terdapat dua lokaliti titik panas di daerah Barat Daya iaitu di Flat Sri Bayu yang mencatat lapan kes dan Bandar Baru Teluk Kumbar dengan 15 kes.