suria

Syamsul Abu Hassan, Puteri Khalimah Johan Tilawah Al-Quran

IPOH: Qari dari daerah Kerian, Syamsul Abu Hasan Alshaari dan qariah dari Larut Matang Selama, Puteri Khalimah Al Azwa Hamed dinobat johan Tilawah al-Quran Peringkat negeri Perak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Meru, di sini, pada Isnin malam.

Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM7,500, pakej ibadat haji bernilai RM10,000, plak, sijil penyertaan dan hadiah iringan.

Syamsul memperoleh 84.7 peratus markah manakala Puteri Khalimah mendapat 76.7 peratus.

Mereka akan mewakili negeri Perak pada Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung bulan depan.

Sementara itu, qari dari daerah Kinta yang merupakan juara tahun lalu, Mohd Kamarulzaman Daud pula memperoleh 84.7 peratus dan dinobatkan sebagai naib johan manakala Ali Muhammad tempat ketiga dengan markah sebanyak 76.2 peratus.

Jumlah peratusan markah johan dan naib johan qari yang sama menyebabkan panel hakim memutuskan Syamsul Abu Hasan sebagai johan dengan kelebihan dari aspek pembacaan tajwid.

Naib johan qariah pula dimenangi Munirah Razali dari Manjung mendapat 72.5 peratus manakala Norzan Ahmad dari daerah Kerian memperoleh 68.3 peratus menduduki tempat ketiga.

Bagi naib johan qari dan qariah, peserta menerima hadiah wang tunai RM6,000, plak, sijil penyertaan dan hadiah iringan manakala tempat ketiga membawa pulang RM4,000 berserta plak, sijil penyertaan dan hadiah iringan.

Hadiah disampaikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Tilawah Al-Quran

Artikel Lain