Chua berkata, sebaliknya ketiadaan waris untuk meneruskan perniagaan serta kegagalan bersaing dengan pasar raya besar dan kedai francais menjadi punca peniaga kecil terlibat menutup perniagaan mereka.
"Kita telah mengadakan pertemuan dengan persatuan kedai runcit bagi mengenal pasti masalah mereka dan kita dapati bukan CBP sahaja yang menjadi punca mereka mahu menutup perniagaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.
Beliau mengulas mengenai laporan sebuah portal berita yang mendakwa terdapat peniaga kedai runcit di Pulau Pinang terpaksa menutup perniagaan mereka kerana tidak mampu berdepan cabaran pelaksanaan CBP, antaranya kenaikan sewa premis yang juga dikenakan CBP.
Katanya, masalah penyesuaian terhadap CBP pasti dihadapi di mana-mana negara yang melaksanakan cukai baharu itu.
CBP yang menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan akan dilaksanakan di seluruh negara bermula Rabu pada kadar enam peratus.