Dalam satu kenyataan di laman blognya pada Selasa, penasihat DAP Lim Kit Siang mengakui bahawa ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat akan kehilangan undi yang lebih besar sekiranya pakatan pembangkang gagal diselamatkan.
Malah beliau memberi amaran bahawa PAS akan berhadapan kekalahan teruk.
"PAS berada dalam bahaya, kehilangan hampir semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di luar negeri-negeri di Utara akibat kelulusan Rang Undang-Undang Pindaan Kanun Jenayah Syariah 2015 dan pembentangan rang undang-undang persendirian berhubung pelaksanaan hudud oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Dengan kehilangan 30% undi bukan Melayu, PAS akan kehilangan tujuh kerusi Parlimen dan 29 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU-13," katanya.Penasihat DAP itu menegaskan PAS mungkin ditolak pengundi di Johor, Perak dan Melaka serta kehilangan jumlah undi lebih besar di Selangor, Pahang dan Kedah.
"PAS akan kehilangan kebanyakan kerusi Parlimen dan DUN di negeri-negeri di utara," kata Kit Siang.
Katanya, kekalahan PAS di Terengganu pada PRU 2004 dan Kedah pada 2013 seharusnya menjadi peringatan bahawa parti itu tidak harus memandang ringan sokongan yang diberikan rakyat terhadap mereka.
Malah, Kit Siang turut mengingatkan bahawa PAS mungkin boleh kehilangan kuasa di Kelantan.