KUALA LUMPUR: Enam bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikenal pasti polis terlibat dalam aktiviti kumpulan militan. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lima daripada enam yang ditahan menyertai Kumpulan Militan Malaysia (KMM) manakala seorang lagi terlibat dengan Jemaah Islamiyah. Katanya, kerajaan sentiasa serius dalam membanteras aktiviti kumpulan militan dan pengganas terutamanya anggota Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS). Dr Ahmad Zahid berkata kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk menyekat pengaruh IS dari menular di negara ini. "Sehingga 31 Mac, seramai 75 individu yang ditahan terlibat dengan IS," katanya dalam jawapan bertulis kepada Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) di Dewan Rakyat pada Selasa.