KUALA LUMPUR: Penetapan tambang bas tidak hanya tertakluk kepada harga bahan api semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada beberapa kos lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri. Beliau berkata kos bahan api hanya pada sekitar 11 hingga 20 peratus manakala selebihnya adalah kos penyelenggaraan, gaji pemandu, insurans, tayar dan pembiayaan bas. "Tiada perubahan kepada harga tambang bas dan pengangkutan awam yang lain kecuali teksi, walaupun terdapat penurunan harga bahan api baru-baru ini. "Kadar tambang sedia ada adalah mengikut kadar tambang yang telah diluluskan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) 2009," katanya dalam jawapan bertulis kepada Dr Mansor Abd Rahman (BN-Sik). Mansor ingin tahu sama ada tambang pengangkutan awam terutamanya bas telah diturunkan atau masih kekal walaupun berlakunya penurunan harga minyak. Nancy berkata tiada sebarang kenaikan diumumkan kerajaan sejak enam tahun lepas walaupun pada waktu itu harga minyak diesel adalah RM1.70 seliter manakala minyak petrol pula berada pada harga RM1.80 seliter. "Ini bermakna, walaupun harga bahan api baru-baru ini mengalami penurunan, namun ia adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan harga bahan api ketika kali terakhir kadar tambang pengangkutan awam disemak dan diperbaharui pada 2009," katanya. Harga runcit semasa bagi petrol RON95 ditetapkan RM1.95 seliter manakala RON97 RM2.25 seliter dan diesel RM1.95 seliter. Nancy berkata kadar tambang bas ketika ini tidak membebankan pengguna serta dapat membantu pengusaha menjalankan operasi secara lestari. Pada 19 Mac lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan penyelarasan kadar tambang teksi dan kereta sewa yang dibenarkan naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta-merta manakala mulai 15 Mei, tambang bas ekspres dan rel naik 22.6 peratus. Bagaimanapun, kabinet meminta SPAD agar menangguhkan kenaikan kadar tambang baharu pengangkutan awam seperti yang diumumkan, hanya kadar tambang baharu teksi sahaja diteruskan.