suria

GST Sudah Tiba, Ujian Bagi Pengguna Berhemah

BERTAHUN-TAHUN ia diperbincangkan, diperdebatkan, dihentam, dirayu, dialu-alukan, dibantah, dicanang-canangkan dan dinyanyi-nyanyikan di corong radio dan televisyen. Akhirnya, cukai jualan dan perkhidmatan,yang lebih dikenali sebagai GST, kini menjadi sebahagian dari kehidupan seharian kita.

Bukan semua orang memahaminya. Mungkin lebih ramai yang keliru daripada yang mengerti apa dia GST itu.

Dengan peredaran masa, diharapkan segalanya berjalan licin seperti dibayangkan pihak pemerintah.

Boleh dikatakan isu GST adalah perkara yang paling banyak disebut dan diperkatakan di kalangan pengguna, yang meluahkan keresahan atau sokongan mereka terhadap cukai tersebut di media sosial dan blog.

Bagi penulis, yang paling ketara mengenai GST ini ialah warga kerja asing yang datang buat duit di Malaysia tapi tidak pernah membayar cukai kepada negara kita; kini tidak dikecualikan.

Mereka turut dikenakan GST ke atas barangan-barangan dan perkhidmatan tertentu yang mereka perolehi menerusi wang upah atau gaji sebagai pekerja dan pengguna di Malaysia.

Yang menjadi kemusykilan kepada penulis ialah kaedah atau cara GST dilaksanakan.

Di beberapa negara yang mempraktikkan GST, harga sebenar sesuatu barang itu tertera pada label barangan berkenaan di rak dan cukai tersebut hanya dihitungkan semasa membuat bayaran di kaunter.

Apakah kaedah ini turut diimplementasikan di Malaysia?

Perkara penting seperti ini sepatutnya diperjelaskan lebih awal lagi kerana pekedai tidak boleh meletakkan harga yang berbeza pada barangan di premis yang dikecualikan dari melaksanakan GST dengan premis yang didaftarkan untuk GST.

Maknanya, kesemua barangan, misalnya mi segera dalam paket, sepatutnya mempunyai label harga yang sama; tak kira ia dijual di kedai GST atau yang dikecualikan GST. Cuma beza harganya di ketahui bila pembeli membayar di kaunter sebelum keluar kedai.

Apa pun, pengguna telah dimaklumkan bahawa cukai baharu ini hanya dikenakan oleh pengusaha yang punyai pelaburan perniagaan sebanyak RM500,000 dan lebih.

Jadi, jika anda ingin berjimat, berikhtiarlah mencari barang dan perkhidmatan yang anda perlu di tempat-tempat yang tidak berdaftar untuk GST.

Namun, terdapat sesetengah peniaga yang punyai pelaburan di bawah threshold RM500,000  yang juga mendaftarkan perniagaannya secara sukarela untuk GST.

Mereka membuat demikian kerana yakin perniagaan mereka akan berkembang di masa depan dan mereka sekadar ingin bersiap sedia untuk pelaksanaan GST di tempat mereka kelak.

TERPAKSA KORBAN NAFSU

Seorang kenalan, disebut di sini sebagai KTN, beranggapan setiap perkara baharu sudah tentu akan mendatangkan cabaran.

“Sembang kencang pun, protes pun, perkara itu tetap akan berjalan.

“Jadi, saya terpaksa korban sedikit nafsu untuk meneruskan kehidupan,” kata KTN, kenalan saya sewaktu beliau kendalikan sebuah bengkel penulisan di Bangi, Selangor, tidak berapa lama dulu.

Sebagai seorang penulis yang bijak mengkritik, beliau akui tidak tahu status GST kesemua barangan dan perkhidmatan di pasaran.

Maka, beliau mengambil langkah bijak dengan menyimpan senarai barangan, di bawah kategori-kategori “zero rated” , “relief” dan “exempted” yang dimuaturun dari laman sesawang GST dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kooperasi dan Kepengunaan (KPDNKK), sambil berpesan bahawa mengetahuinya adalah hak kita sebagai pengguna.

Sememangnya, insan seperti KTN bukanlah jenis suka buat bising atau heboh jika munculnya sesuatu isu yang tidak dapat dielakkan berlaku.

Maka, beliau telah mengambil pendirian untuk tidak bertindak secara melulu, bagi menunjukkan teladan sebagai seorang pengguna yang menjimatkan belanja.

Misalnya, beliau bertekad untuk hanya beli barangan yang tidak dikenakan GST; seperti  produk ternakan yang segar, yang dibekukan, dimasinkan atau yag dijeruk dan diperamkan kerana barangan seperti ini adalah dikategorikan sebagai sifar GST.

“Saya mengelak untuk membeli makanan diproses, seperti sardin dalam tin dan mi segera, kerana ia dikenakan GST,” begitu di antara kata-katanya di dalam halaman Facebook yang diikongsikan bersama teman-temannya.

Di samping itu, katanya lagi, beliau akan memakan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran, yang turut menyihatkan badan.

KTN juga bertekad untuk tidak mahu lagi makan di luar, sebaliknya, membawa bekal dari rumah.

“Lagi pun, masakan isteri akan mengeratkan lagi kasih sayang,” beliau berjenaka.

Juga, rempah ratus, kelapa parut, gula, garam dan keperluan memasak yang lain tiada dikenakan GST.

MEMBAZIR AMALAN SYAITAN

Beliau mengingatkan bahawa penggunaan eletrik di bawah 300kw tak dikenakan GST, maka ia suatu lagi kesempatan untuk berjimat perbelanjaan isirumah.

“Membazir itu amalan syaitan,” katanya, yang juga memilih membawa motorsikal untuk berulang-alik di anatara rumah dan tempat kerja sebagai suatu usaha menjimatkan perbelanjaan ke atas minyak kenderaaan di samping mengelak kesesakan lalulintas.

Menurut KTN, keretanya digunakan utuk waktu kecemasan saja.

Andainya beliau menggunakan kereta, dia gunakan jalan bertol; kerana tol dan Touch N Go tiada GST.

“Saya tidak kisah utuk mengisi minyak Ron95 sebanyak mugkin, kerana Ron95, LPG (iaitu gas cecair) dan disel toada GST,” katanya.

KTN berkata, kerajaan telah berjanji utuk berikan BR1M bagi menampung kos perbelanjaan dan beliau berharap dengan kutipan GST yang banyak, lebih banyak manfaatnya kepada rakyat.

“Kalau kerajaan mungkir janji, saya ada pilihan untuk tukar kerajaan. Saya tak kisah siapa yang memimpin, tapi saya tetap saya; perlu kerja, perlu solat, perlu berdakwah, perlu segalanya.”



GST, KPDNKK, LPG

Artikel Lain