suria

SPRM Sambut Baik Hasrat Anggota Parlimen Tandatangani Ikrar Integriti

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik hasrat anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani ikrar integriti bagi meningkatkan budaya integriti serta menjadi contoh selaku anggota badan perundangan negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM ,Datuk Mustafar Ali menyifatkannya sebagai suatu langkah positif yang akan membantu usaha mewujudkan persekitaran bebas rasuah dan mewujudkan amalan berintegriti.

Dalam kenyataannya, Rabu, beliau berkata, langkah yang bakal diambil Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) itu membuktikan semakin ramai wakil rakyat mula mengambil tindakan proaktif sekali gus menjadi contoh kepada masyarakat umum.

"SPRM akan mengambil tindakan susulan bagi merealisasikan hasrat murni ini," katanya.

Kenyataan itu juga memetik Pengerusi BNBB Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai berkata langkah itu bagi mencontohi Anggota Dewan Undangan Negeri BN Sarawak yang berbuat demikian baru-baru ini.

"Saya telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan memaklumkan kepada Kabinet terlebih dahulu mengenai perkara ini," kata Shahrir pada majlis Perbincangan Integriti Bersama Anggota ParlimenBNBBC anjuran NKRA Membanteras Rasuah SPRM di Parlimen di sini, Rabu.

Lebih 50 anggota BNBBC menghadiri majlis itu bertujuan membuka ruang kepada SPRM bagi menerangkan usaha serta inisiatif pencegahan rasuah di Malaysia dan mendapatkan maklum balas daripada pihak penyokong kerajaan.

Pada majlis itu, Mustafar turut menyampaikan taklimat sebagai mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamad.

Shahrir juga berkata anggota Parlimen BN sememangnya bersedia mengambil langkah itu dan berharap ia menjadi contoh kepada orang ramai selain mewujudkan persekitaran bebas rasuah.

"Sekiranya kakitangan awam boleh menandatangani Akujanji, saya kira penggubal undang-undang juga harus bertindak demikian dengan menandatangani ikrar integriti," kata anggota Parlimen Johor Baru itu. -- Bernama


SPRM, ikrar integriti, BNBBC, Mustafar Ali

Artikel Lain