Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata kerajaan pusat menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa memberikan kerjasama baik demi kepentingan rakyat negeri itu.
"Saya ambil contoh persetujuan mesyuarat di Putrajaya. Banyak kita (dapat peruntukan) baik pulih sama ada dari sudut infrastruktur, malah Padang Perdana (di Kota Baharu) juga kita dapat peruntukan kira-kira RM100,000 dari KPKT untuk baik pulih.
"Terima kasih kepada kerajaan pusat telah beri peruntukan untuk baik pulih infrastruktur di dalam (seliaan) pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat dengan banjir," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Pertandingan Jerlun International 4x4 Extreme 2015 di Kota Darul Naim di sini, Khamis.
"Di Kuala Krai kita mohon untuk membina bangunan (majlis daerah) yang baharu sebab kawasan tersebut sering dilanda banjir tiap tahun dan kita ada beri cadangan kepada KPKT dan pada asasnya mereka bersetuju untuk membina pejabat baharu di Kuala Krai," katanya.