suria

Adun BN Selar MB Selangor Menidakkan Projek Manfaatkan Rakyat

Budiman Mohd Zohdi

SHAH ALAM: Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor menyelar Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang dikatakan cenderung menidakkan usaha Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam melaksanakan projek pembangunan di negeri itu walaupun ia demi kesejahteraan rakyat.

Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Panjang) mendakwa perkara itu jelas dalam beberapa tindakan Mohamed Azmin termasuk yang melibatkan perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor serta pembatalan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

"Kami berpendapat terdapat kecenderungan (politik) menteri besar sekarang untuk menidakkan segala perkara dipersetujui menteri besar terdahulu (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) melibatkan projek air dan Kidex.

"Kami dari Adun BN turut terkejut dengan penjelasan diberikan Menteri Besar yang membatalkan projek Kidex yang mampu menyuraikan trafik dan kesesakan lalu lintas di sekitar Lembah Klang," katanya dalam sidang akhbar di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, Jumaat.

Budiman berkata, tindakan pembatalan Kidex menunjukkan kerajaan negeri tidak prihatin dengan kesengsaraan 365,000 pengguna jalan raya di Lembah Klang yang terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas teruk setiap hari.

Sebelum ini, Mohamed Azmin menjelaskan pembatalan dibuat kerana pihak konsesi gagal mematuhi tiga syarat khusus yang ditetapkan kerajaan negeri iaitu penyediaan Penilaian Impak Lalu Lintas yang bebas, Penilaian Impak Sosial dan Penilaian Impak Alam Sekitar.

Terdahulu, Mohamed Azmin ketika menjawab pertanyaan Dr Abdul Rani Osman (PAS-Meru) dalam sidang DUN menjelaskan kerajaan negeri tidak pernah didedahkan perjanjian konsesi projek Kidex yang ditandatangani oleh syarikat konsesi projek itu dan Kementerian Kerja Raya meskipun dipohon banyak kali untuk berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin ketika manjawab soalan Rodziah Ismail (PKR-Batu Tiga) berkata kerajaan negeri tidak lagi melaksanakan dasar tender mengikut harga terendah seperti yang diamalkan sebelum ini sebab dasar itu didapati tidak memberikan pulangan baik kepada kerajaan negeri meskipun ia dikatakan mampu memberi penjimatan sebanyak RM100 juta.

Sebaliknya Azmin berkata kerajaan negeri kini melaksanakan dasar penilaian perolehan secara sistem 'cut-off' bermula Januari tahun ini bagi menggantikan dasar perolehan tender harga terendah sebelum ini.-- Bernama


Adun, BN, Azmin Ali, Budiman Mohd Zohdi

Artikel Lain