suria

Pecah Rumah: Banduan Dapat Hukuman Tambahan

KUALA LUMPUR: Seorang banduan yang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana pecah rumah, terpaksa akur menerima hukuman penjara tambahan lapan tahun lagi setelah Mahkamah Sesyen di sini mendapatinya bersalah  memecah masuk rumah lain pula.

Ruzaini Abdullah, 38, yang dipenjara lima tahun sejak Ogos tahun lepas, mengaku bersalah memecah rumah Tan Lee Hing @ Tang Lee Hing, 48, untuk mencuri beberapa barangan termasuk telefon bimbit, barangan kemas bernilai RM25,000 dan wang tunai RM1,200 yang kesemuanya berjumlah RM45,000 pada 2013.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan Ruzaini menjalani hukuman penjara lapan tahun itu setelah selesai hukuman penjara lima tahun.

Ruzaini, bekas pemotong rumput, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah  111, Jalan Helang Kepong Baru, Sentul di sini antara 3 hingga 6.15 petang, 1 Mac 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan didenda atau sebat.

Sebelum ini, dia mengaku bersalah memecah masuk sebuah rumah di Subang Jaya pada 5 Ogos 2014.

Ketika rayuan, Ruzaini yang tidak diwakili peguam, merayu supaya hukuman berjalan serentak dengan hukuman penjaranya sekarang.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain.-- Bernama 


Artikel Lain