KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semula Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani setelah prosiding untuk program subsidi beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) dimuktamadkan. Ini berikutan program subsidi beras berkenaan dikatakan tiada prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara pengagihan yang telus. Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam satu kenyataan di sini berkata, program itu bermula sejak 2008 dengan peruntukan RM400 juta dan pada tahun lepas sahaja, sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi 60,000 tan metrik beras subsidi. "Program ini memerlukan SOP dan tatacara pengagihan yang benar-benar telus serta sistematik bagi memastikan wang rakyat yang dibelanjakan benar-benar mencapai matlamat untuk membantu golongan rakyat kurang berkemampuan membeli beras. "Jika tiada pemantauan di peringkat pengguna, ia memberi gambaran bahawa beras ini boleh dibeli sesiapa sahaja termasuk restoran dan kedai makanan sekali gus tidak memberi manfaat kepada rakyat yang kurang berkemampuan," katanya. Menurut Nur Jazlan, pihaknya juga tidak keberatan berjumpa Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) berhubung dakwaan persatuan itu bahawa program subsidi beras tersebut benar-benar mencapai matlamat dan sasarannya. "Cuma yang saya hairan bagaimana Barim kata program mencapai matlamat tetapi kementerian kata tiada pemantauan..jadi lebih elok kementerian bawa sekali Barim apabila dipanggil semula dalam prosiding program beras subsidi ST15. "PAC tidak mahu timbul sebarang tanggapan mengenai kerajaan membelanjakan wang rakyat untuk program subsidi yang tidak mencapai sasaran dan matlamatnya, jika benar program beras subsidi ST15 ini mencapai matlamat, maka tunjukkan bukti itu kepada PAC," katanya. Nur Jazlan berkata, pengurusan beras subsidi ST15 pernah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 dan kini pihaknya mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan sekali lagi terhadap semua program subsidi dalam Kementerian Pertanian termasuk beras subsidi ST15. Katanya, semua pihak perlu sedar bahawa apa sahaja program subsidi, manfaatnya adalah untuk rakyat secara keseluruhan terutama golongan kurang berkemampuan bukan pada sesetengah pihak seperti pemborong dan pengedar sahaja. -- Bernama