suria

Republik Kyrgyz Mahu Perkenal Sektor Pelancongannya Kepada Rakyat Malaysia

Duta Republik Kyrgyz, Kylychbek Sultanov (tiga dari kanan) ketika melawat bilik operasi berita The Star di Menara Star, Seksyen 16, Petaling Jaya pada Jumaat, 3 April 2015. Turut mengiringi beliau ialah Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Kumpulan Editorial The Star, Tommy Lee (kiri) dan Pengarang Eksekutif, Rozaid A. Rahman (dua dari kiri).

PETALING JAYA: Duta Kyrgyztan ke Malaysia, Kylychbek Sultanov berharap Malaysia akan dapat menyegerakan pembukaan kedutaannya di negara itu tahun ini agar hubungan dua hala serta diplomatik akan dapat diperkukuhkan.

Menurut Sultanov, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah mengadakan kunjungan rasmi ke Kyrgyztan September tahun lalu dan memberi indikasi yang Malaysia memang berhasrat untuk menubuhkan pejabat misi diplomatiknya di Bishkek, ibu negara Kyrgyztan.

Beliau berkata demikian ketika melakukan kunjungan rasmi ke Ibu Pejabat Kumpulan Media Star di sini pada Jumaat.

Kyrgyztan atau nama rasminya Republik Kyrgyz adalah bekas negara Kesatuan Soviet dan menjadi sebuah wilayah yang merdeka pada 1991 sebaik sahaja Kesatuan Soviet berpecah.

Ia terletak di Asia Tengah bersempadan dengan Kazakhstan di Utara, Uzbekistan di sebelah Barat, Tajikistan di Tenggara dan Republik Rakyat China di sebelah Timur.

Bishkek adalah bandar terbesarnya dan juga ibu negara.

Dengan jumlah penduduk sekitar 6 juta orang, warga Kyrgyz adalah terdiri daripada 72.6% etnik Kyrgyz, 14.4% Uzbek, 6.4% Rusia, 1.1% Dungan manakala lain-lain etnik kecil berjumlah 5.5%.

Manakala 90 peratus warganya beragama Islam, selebihnya adalah beragama Kristian Ortodoks.

Sultanov yang baru memulakan tugasnya di sini pertengahan Mac melihat kedua-dua buah negara berpotensi mengembangkan hubungan dua hala dan perdagangan khususnya dalam sektor pelancongan.

"Republik Kyrgyz adalah sebuah negara yang cantik dan penuh dengan gunung-ganang malah kami mempunyai sebuah tasik semulajadi yang dikelilingi oleh banjaran pergunungan yang dilitupi salji. Ia adalah sebuah negara yang menarik untuk dikunjungi," ujarnya.

Menurutnya lagi, oleh kerana majoriti masyarakat Kyrgyz beragama Islam, maka isu berhubungan makanan halal tidak menjadi masalah kepada para pengunjung atau pelancongan beragama Islam.

Sebagai wakil rasmi negaranya ke Malaysia dan juga Brunei, Indonesia dan Thailand, Sultanov berkata, beliau ingin melihat, lebih ramai rakyat dari rantau Asia Tenggara dan juga negaranya saling kunjung mengunjungi.

Dan sektor pelancongan katanya, berpotensi untuk diterokai bersama.

Sultanov yang pernah berkhidmat sebagai menteri kebudayaan dan informasi Kyrgyz berhasrat untuk membawa wartawan Malaysia ke negaranya bagi membolehkan mereka melihat secara langsung perkembangan negara itu dan menulis mengenai keindahannya untuk tatapan rakyat Malaysia.


Artikel Berikut

Artikel Lain