suria

Belum Ada Bukti Helikopter Meletup Di Udara - Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Belum ada sebarang pengesahan berkaitan letupan di udara melibatkan helikopter malang yang terhempas di Semenyih petang Sabtu, sebagaimana dilaporkan beberapa media, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Tiong Lai berkata, siasatan awal masih berjalan dan selagi siasatan belum selesai, khabar angin mengenai letupan itu dianggap tidak benar.

"Tidak ada sebarang maklumat lain (tentang letupan), siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar kediaman anggota Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis di The Mines, Seri Kembangan Ahad.

Jamaluddin bersama-sama lima yang lain terkorban dalam kemalangan itu.

Jamaluddin, yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias serta empat yang lain sedang dalam penerbangan dari Pekan, Pahang, ke Subang, Selangor, apabila helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) itu terhempas di kawasan kebun getah di Semenyih.

Empat lagi ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pembantu operasi Aidana Baizieva; Pengawal peribadi Jamaluddin, Mohd Razkan Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.

Dalam perkembangan lain, Tiong Lai berkata, 'kotak hitam' akan memberi petunjuk penting mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada helikopter malang berkenaan.

Katanya, siasatan tiga pihak, melibatkan Kementerian Pengangkutan,  Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Polis Diraja Malaysia telahpun bermula sejak semalam, termasuk proses menghasilkan laporan awal tragedi berkenaan.

Hari ini, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat dipetik sebagai berkata kotak hitam helikopter itu ditemui pada 11.30 pagi, Ahad. -- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain