Menurut Pejabat Akhbar Perdana Menteri dalam catatan terkini di laman Twitter pada 7.47 pagi Ahad, jenazah kedua-dua mereka akan dibawa pulang ke rumah masing-masing untuk urusan pengebumian pagi ini.
Jamaluddin, yang merupakan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Azlin, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bersama empat lagi dalam perjalanan pulang dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur dengan menaiki helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB), yang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.
Empat lagi mangsa di dalam helikopter itu ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.
Kesemua mayat, yang ditemui pasukan mencari dan menyelamat melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam beberapa jam selepas insiden itu, dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan pengecaman identiti.