suria

Jabatan Penjara Nafi Anwar Bawa Reformasi Untuk Banduan

PETALING JAYA: Jabatan Penjara menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa reformasi ke dalam Penjara Sungai Buloh ketika menjalani hukuman kes liwat.

Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara, Supri Hashim berkata, dakwaan 'reformasi' mengenai banduan-banduan di penjara itu kini dibekalkan susu tiga kali seminggu bukan disebabkan Anwar atau selepas ketua pembangkang itu dipenjarakan.

Menurutnya, bekalan susu, makanan tambahan atau diet yang dipinda sememangnya telah lama diamalkan untuk diberikan kepada banduan-banduan yang sakit atau mempunyai masalah kesihatan sahaja setelah disyorkan oleh pegawai perubatan.

"Perkara ini dibenarkan oleh Peraturan-Peraturan Penjara 1995 dan bekalan susu tidak diberikan kepada semua banduan.

"Oleh itu, adalah jelas bahawa susu dibekalkan bukan kerana Anwar Ibrahim atau hanya diberikan kepada banduan setelah Anwar Ibrahim menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.

"Kesihatan seseorang banduan menjadi keutamaan kepada Jabatan Penjara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Laporan sebuah portal berita pro pembangkang pada 1 April lalu mendakwa hasil 'reformasi' Anwar selepas dua bulan dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, penghuninya kini dihidangkan susu tiga kali seminggu yang tidak ada dalam menu sebelum ini, malah nyamuk juga berkurangan di penjara itu.

Supri berkata, semburan membasmi nyamuk dilaksanakan secara berkala oleh kontraktor yang dilantik sejak enam tahun lalu.

"Tindakan melaksanakan semburan membasmi nyamuk  juga diambil oleh Pejabat Kesihatan Daerah Gombak," katanya yang menolak dakwaan bahawa semburan membasmi nyamuk hanya dilakukan setelah maklumat mengenai masalah itu disampaikan oleh ketua pembangkang tersebut kepada Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Supri turut menafikan dakwaan laporan portal berkenaan yang memetik seorang peguam sebagai berkata, Anwar dibernarkan memberi ceramah agama dan kaunseling kepada banduan lain.

"Perkara ini adalah tidak benar sama sekali kerana bagi tujuan keselamatan dan kesihatan, Anwar Ibrahim ditempatkan dalam sel perseorangan sejak menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh mulai 10 Februari 2015.

"Jabatan Penjara mempunyai pegawai khusus atau menjemput pihak yang berkelayakan bagi tujuan program berbentuk kaunseling dan juga agama untuk banduan," kata Supri.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan tuduhan liwat terhadap Anwar dan dihukum penjara lima tahun.

Jabatan Penjara, Anwar Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain