Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata Dr Mahathir amat dihormati kerana sumbangannya kepada negara tetapi bekas perdana menteri itu perlu mencerminkan dirinya terlebih dahulu sebelum mendesak Najib untuk meletak jawatan.
Beliau berkata PBS antara yang pernah meminta Dr Mahathir untuk meletak jawatan sebagai perdana menteri kira-kira 20 tahun lalu kerana parti itu menyalahkan beliau yang didakwa membenarkan pendatang haram untuk mendapatkan kerakyatan di Sabah.
"Beliau mengabaikan desakan kami. Hari ini beliau mengakui wujud Projek IC dan tiada apa yang salah dalam memberikan kerakyatan kepada pendatang semata-mata kerana mereka berada di Sabah untuk tempoh yang lama dan mempunyai saudara mara di sini.
"Oleh itu, Projek IC wujud untuk memberikan kerakyatan kepada golongan ini, mengabaikan peraturan dan undang-undang mengenai kewarganegaraan dan kelayakan," kata Dr Maximus.Beliau berkata PBS sentiasa menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu pengkhianatan.
"Kami kecewa dengan kenyataan seperti itu tetapi ia membuktikan dakwaan PBS terhadap Mahathir adalah benar selama ini," katanya.