suria

Bumbung 59 Rumah Rosak Akibat Dilanda Ribut

KOTA TINGGI: Sebanyak 59 buah rumah di empat kawasan di sini mengalami kerosakan di bahagian bumbung selepas dilanda ribut dalam kejadian petang, Isnin.

Penolong Amil Baitulmal, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Kota Tinggi, Muhammad Zakuan Ghazali berkata, empat kawasan yang terjejas ialah Bandar Petri Jaya melibatkan 36 rumah, Felda Air Tawar 2 (18 rumah), Felda Pasak (empat rumah) dan Felda Linggiu (sebuah rumah).

"Lapan daripada kesemua rumah itu rosak teruk. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kami masih menunggu pengesahan nilai kerugian yang dialami keluarga terlibat," katanya.

Muhammad Zakuan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan awal segera antara RM500 hingga RM2,00 kepada kesemua mangsa di sini, Selasa.

Turut hadir Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Tinggi, Aminur Rashid Selamat dan Pegawai Khas kepada anggota Parlimen Tenggara, Ahmad Osman.

Sementara itu, menurut seorang mangsa, Ismail Abdullah, 57, ketika kejadian dia baru sahaja selesai menunaikan solat Asar dan ingin membantu isterinya memarut kelapa untuk membuat laksa sebagai juadah petang.

Menurutnya, dia boleh mendengar jelas bunyi hujan turun dengan lebat berserta tiupan angin kencang dari ruangan dalam rumah ketika itu, sebelum dikejutkan dengan gumpalan angin yang menerbangkan bumbung rumahnya.

"Melihat gumpalan angin itu, saya terus bertindak melaungkan azan dan Alhamdulillah sebaik habis melaungkan azan, hujan dan tiupan angin kencang itu terus berhenti.

"Saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat," katanya yang merupakan seorang bilal di sebuah masjid di kawasan terbabit.

Seorang lagi mangsa, Faridah Gudano, 63, berkata, ketika kejadian, dia sempat menyelamatkan barang yang terdapat di dalam bilik tidur rumahnya.

"Kejadian sangat pantas sehingga dapat dirasai bumbung rumah kami melambung-lambung, tetapi dalam keadaan kekalutan kami sempat mengeluarkan barang-barang dalam bilik sebelum atap rumah diterbangkan ribut.

"Kami sekeluarga berkumpul di ruangan dapur sementara menunggu keadaan ribut reda," katanya.

ribut, Kota Tinggi, Bandar Petri Jaya

Artikel Lain