suria

Anwar Masih Penasihat Ekonomi Selangor - Azmin

Azmin ketika menjawab soalan yang dikemukakan pada sesi sidang DUN Selangor, Selasa.

SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi Penasihat Ekonomi Selangor yang sah, walaupun sedang menjalani hukuman penjara, kata Mohamed Azmin Ali.

Menteri Besar Selangor itu berkata, Anwar masih layak berdasarkan latar belakangnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).

Malah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu, jurnal kewangan, Euro Money pernah mengisytihar Anwar sebagai Menteri Kewangan Cemerlang pada 1996, selain memiliki peribadi yang diiktiraf ulama tersohor, Dr Yusuf Qardhawi.

"Kerajan negeri masih boleh mendapatkan nasihat Anwar melalui hasil penulisan dan rujukan, selain kertas kerja yang pernah dibentangkannya sebelum ini.

"Tidak apalah hari ini dia ada dalam penjara, esok belum tentu.

"Tetapi kalau pun dia dalam penjara, apakah saya tidak boleh dapat nasihat dengan penulisan dengan rujukan beliau, kertas kerja yang dibentangkan di dunia saya boleh rujuk.

"Sebab itu bagi saya beliau masih penasihat ekonomi di negeri Selangor," katanya dalam Dewan Undangan Negeri, (DUN), Selasa ketika menjawab gesaan pemimpin Barisan Nasional (BN) jawatan itu perlu segera digantikan dengan individu lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong Datuk Mohd Shamsudin Lias sebelum itu bangun meminta penjelasan menteri besar berkenaan status Anwar selepas Lembaga Pengampunan Diraja menolak petisyen rayuan keluarganya pada 24 Februari lalu.

Susulan keputusan lembaga pengampunan itu, ketua umum PKR yang juga ketua pembangkang di Parlimen itu kini dilucutkan kelayakannya sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.

Beliau kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari yang mengekalkan kesalahannya kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Anwar pada  2009 dilantik menteri besar terdahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bertujuan untuk menarik pelabur asing dengan hanya bergajikan RM1 sebulan.

Khalid pada hari terakhirnya mentadbir Selangor, September tahun lalu menutup pejabat Penasihat Ekonomi di Plaza Perangsang Shah Alam, sekali gus memberhentikan tugas Anwar atas alasan mahu menjimatkan kos pentadbiran negeri, bagaimanapun jawatan itu dipertahankan Azmin.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain