suria

Buruh Dipenjara 20 Tahun Sebabkan Kematian Rakan

PUTRAJAYA: Seorang buruh dihukum penjara 20 tahun oleh Mahkamah Persekutuan kerana membunuh tanpa niat rakannya 10 tahun lepas dalam pergaduhan berhubung kehilangan dompet duit.

Panel lima hakim diketuai Tan Sri Abdull Hamid Embong menjatuhi hukuman itu selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Rozmi Yusof, 39, daripada sabitan dan hukuman gantung kerana membunuh Rodzi Mohamad, 28.

Hakim Abdull Hamid mensabitkan Rozmi terhadap pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Rozmi itu.

Hakim Abdull Hamid memerintahkan Rozmi menjalani hukuman penjara itu selepas dia selesai menjalani hukuman penjara lima tahun yang dihadapinya sekarang kerana memiliki parang.

Empat hakim lagi ialah Tan Sri Hasan Lah, Datuk Seri Abu Samah Nordin, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Mahkamah Tinggi Kota Baharu pada 6 Dis 2010, menjatuhi hukuman gantung terhadap Rozmi selepas mendapati dia bersalah membunuh Rodzi, pada 9 malam 31 Ogos 2005 di sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Banggol Kerian, Pasir Puteh, Kelantan.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan pada 11 Mei 2012 mengetepikan sabitan dan hukuman gantung itu selepas membenarkan rayuan Rozmi dan memutuskan adalah tidak selamat untuk mahkamah itu mensabitkan Rozmi atas pertuduhan membunuh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin berhujah bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf dalam keputusannya membebaskan responden (Rozmi) daripada pertuduhan membunuh berdasarkan keterangan Rozmi bahawa dia mempertahankan diri.

Beliau berkata, perbuatan responden melebihi tindakan mempertahankan diri kerana berdasarkan keterangan pakar patologi mangsa mengalami empat kecederaan luaran antaranya luka pada bahagian belakang kepala yang memotong kulit kepala hingga mendedahkan tengkorak hasil tetakan menggunakan parang.

Peguam Ahmad Nizam Mohamad pula berhujah bahawa keterangan anak guamnya adalah konsisten dengan pembelaan mempertahankan diri kerana mangsa menyerangnya menggunakan lawi ayam (kerambit) dan responden mempertahankan dirinya menggunakan parang.

Mengikut keterangan saksi di mahkamah, mangsa pergi ke rumah Rozmi yang tinggal dengan ibu mertuanya untuk menilik dompetnya yang hilang dan selepas itu berlaku pergaduhan antara mereka.-- Bernama



Artikel Lain