suria

POTA: Tangguh Perbahasan Ke Awal Pagi Helah BN - Pembangkang

Bilangan wakil rakyat pembangkang yang tidak ramai antara sebab undi belah bahagian tidak memihak kepada mereka, sekali gus POTA diluluskan pada 2.30 pagi Selasa.

KUALA LUMPUR: Selepas usaha menggagalkan rancangan kerajaan untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 tidak berjaya, wakil rakyat pembangkang yang tidak berpuas hati tampil menyalahkan Barisan Nasional (BN) kerana bertindak terburu-buru.

Menurut mereka, tindakan membatalkan usul awal bagi menangguhkan sesi perbahasan yang sepatutnya tamat pada pukul 9.30 malam Isnin adalah helah kerajaan selepas menyedari ramai wakil rakyat pembangkang tidak hadir.

Difahamkan sejumlah 27 daripada 87 wakil rakyat pembangkang gagal hadir ketika sesi undi belah bahagian akhir POTA yang diluluskan pada pukul 2.30 pagi Selasa.

DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing mendakwa hanya dua dan tiga wakil rakyat mereka gagal hadir pada sesi undian berkenaan.

Sebelum ini pembangkang mempunyai 89 wakil di Parlimen bagaimanapun kerusi Parlimen Permatang Pauh kosong selepas penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan.

Satu lagi kerusi pembangkang hilang selepas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat daripada PKR.

POTA diluluskan selepas undian belah bahagian kesembilan dilakukan dengan undian terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju dan 60 tidak bersetuju.

Ketua Whip PAS, Datuk Mahfuz Omar bagaimanapun berkata, tindakan melanjutkan sesi perbahasan hingga memaksa Dewan Rakyat ‘menggantung’ masa adalah sangat mengejutkan, malah tidak bertanggungjawab.

“Mula-mula umum perbahasan akan berakhir pada pukul 9.30 malam. Tapi kenapa kemukakan usul baharu untuk melanjutkan mesyuarat? Bagi saya ini sangat tidak demokratik,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Mengakui beliau juga tidak hadir sesi persidangan pada sebelah malam, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan bahawa semua wakil rakyat seharusnya diberi masa yang lebih panjang untuk berbahas.

“Saya terkejut dan hairan bagaimana rang undang-undang yang begitu penting seperti ini nak diluluskan secara tergesa-gesa.

“Seharusnya kami diberi masa yang mencukupi untuk menyertai sesi perbahasan,” katanya.

Bagaimanapun, difahamkan ada di kalangan Ahli Parlimen yang berpatah balik semula ke Dewan Rakyat semata-mata untuk memastikan undian belah bahagian memihak kepada mereka, tetapi usaha itu gagal kerana bilangan kehadiran mereka yang tidak dapat mengatasi jumlah wakil rakyat BN yang menyokong untuk meluluskan perundangan itu.

Sementara itu Ketua Whip DAP, Anthony Loke pula mendakwa kebanyakan wakil rakyat parti itu hadir mengundi untuk tidak menyokong POTA diluluskan tanpa pindaan.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, 35 daripada 37 wakil rakyat DAP hadir sambil menjelaskan bahawa dua Ahli Parlimen yang tidak dinamakan itu kini berada di luar negara.

Bagi Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul yang tidak hadir pada sesi undi belah bahagian berhubung POTA mendakwa mengalami masalah kesihatan.

“Saya tidak sihat, manakala Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa berada di Australia dan Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo mempunyai tugasan lain,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Takiyuddin Hassan bagaimanapun memilih untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak berhubung ketidakhadiran sebilangan wakil rakyat pada Isnin malam.

“Saya tak boleh bagi alasan bagi pihak orang lain. Saya yakin masing-masing ada alasan sendiri mengapa gagal hadir.

“Saya sendiri tak hadir sebab ada mesyuarat khas di Shah Alam,” katanya.

Bagaimanapun menurut beliau, mana-mana wakil rakyat pembangkang yang tidak mempunyai urusan rasmi seharusnya perlu berada di dalam Dewan Rakyat sehingga sesi perbahasan selesai.


POTA, Parlimen, Mahfuz Omar, DAP, PKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain