SEMENYIH: Serpihan bangkai helikopter Dauphin 2 yang terhempas di sini pada Sabtu lalu berjaya dikeluarkan sepenuhnya. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata selepas lebih tiga hari operasi mencari dan meneliti kawasan itu, kesemua serpihan yang dikenal pasti telah dikeluarkan. "Tiga lori terakhir telah datang pada hari ini untuk membawa bahagian-bahagian kecil manakala enjin kedua dan kotak gear dinaikkan menggunakan sebuah helikopter polis pada sebelah petang," katanya kepada pemberita di lokasi nahas pada Selasa. Liow berkata walaupun kesemua bahagian telah ditemui di lokasi nahas, kawasan tersebut masih lagi di kawal ketat dan orang ramai tidak dibenarkan untuk memasukinya sehingga notis lanjut dikeluarkan. Katanya, kesemua bahagian helikopter tersebut dibawa ke dibawa ke Pangkalan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sungai Besi untuk siasatan lanjut. "Sekiranya mereka beritahu bahawa ada bahagian yang hilang, kami akan meneruskan pencarian sehingga kami berpuas hati," katanya. Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata antara halangan yang dihadapi pegawai bertugas di tapak lokasi adalah keadaan bentuk muka bumi yang tidak rata dan curam. "Bangkai enjin dan kotak gear jatuh bergolek ke bawah cerun dan berada di dalam gaung," katanya. Liow berkata kotak hitam helikopter tersebut hanya boleh dianalisis oleh Pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di United Kingdom.