suria

Bunuh Buruh: Mahkamah Persekutuan Ketepi Keputusan Bebas

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan untuk membebaskan seorang lelaki yang didakwa menyebabkan kematian seorang buruh pada 2005.

Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap Rozmi Yusof, 39, yang akan dimulakan selepas dia menjalani hukuman sedia ada penjara lima tahun kerana memiliki sebilah parang.

"Keputusan Mahkamah Rayuan (untuk membebaskan Rozmi atas pertuduhan membunuh) diketepikan," kata Abdull Hamid yang membacakan keputusan panel lima hakim itu.

Pada 6 Disember 2010, Rozmi dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Baru kerana membunuh Rodzi Mohamad di rumah tidak bernombor di Kampung Banggol Kerian, Pasir Puteh kira-kira pukul 9 malam pada 31 Ogos 2005.

Mahkamah diberitahu bahawa Rodzi pergi ke rumah seorang bomoh untuk mendapatkan maklumat mengenai kehilangan dompet miliknya.

Mangsa bertemu Rozmi semasa dalam perjalanan pulang dan berlaku perselisihan faham diantara mereka sehingga menyebabkan kematian Rodzi.

Mahkamah Rayuan pada 11 Mei 2012 bagaimanapun membebaskan Rozmi selepas mendapati sabitan tersebut tidak selamat untuk dikekalkan.

Pada permulaan prosiding pada Selasa, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah bahawa Mahkamah Rayuan gagal meneliti keterangan yang diberikan Rozmi dengan testimoni pakar patologi sama ada dia bertindak bagi mempertahankan dirinya.

Beliau memberitahu bahawa pakar patologi mendapati empat kecederaan luaran pada si mati dan punca kematian adalah disebabkan kesan luka di kepalanya.

"Hakim Mahkamah Rayuan tidak menghargai keterangan yang diberikan pakar untuk menentukan sama ada keterangan respondan (Rozmi) adalah benar atau sama ada dia telah bertindak ganas," kata Wan Shahruddin.

Peguam Rozmi, Ahmad Nizam Mohamad berkata kecederaan anak guamnya adalah konsisten dengan tindakan mempertahankan diri daripada diserang mangsa menggunakan 'lawi ayam'.


bunuh, Mahkamah Persekutuan, buruh

Artikel Lain