suria

Menagih Simpati di Kota Suci

Peminta sedekah wanita sering mendukung bayi untuk meraih simpati ketika mengemis di jalanan.

ASSALAMUALAIKUM.  Jemaah yang baru kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah dan Madinah kadangkala dinasihatkan agar tidak terlalu terpengaruh dengan pengemis jalanan yang sering menghulur simpati dan belas kasihan.

Sekali anda memberi, puluhan akan datang mengerumuni. Kadangkala sukar mengecam sama ada anda sudah memberi atau tidak kerana rata-rata wajah mereka seakan-akan sama. Tidak dinafikan, kadangkala terbit perasaan serba salah mahu memberi atau sebaliknya.

Perhatikan mereka. Adakah mereka benar-benar cacat atau sengaja menjadikan tangan atau kaki mereka ‘cacat’. Hakikatnya, ada antara mereka yang bijak menyembunyikan kesempurnaan dengan menyorokkan tangan di dalam pakaian.  Ada yang melucukan dan tidak kurang juga menjengkelkan.

Hati-hati dengan mereka kerana ada juga yang agak ganas dan bertindak liar atau di luar batas pemikiran. Justeru, jika enggan menghulurkan sumbangan, abaikan mereka sahaja dan usah memarahi  kerana dikhuatiri rakan-rakan mereka turut mengekori.

Perasaan kita akan terasa belas apabila melihat si kecil bertubuh kurus melidi berambut keriting halus dan mengalami kecacatan fizikal meraih simpati sambil bernyanyi. Bagi yang kali pertama bergelar tetamu Ilahi, pasti tidak sampai hati lantas menghulurkan sedikit sumbangan tanda simpati.

Namun jika acap kali ke Tanah Suci, suasana sedemikian itu bukan asing lagi kerana saban hari sesudah solat fardu, terutama Subuh, Asar dan Maghrib, ramai pengemis memohon ihsan dan belas kasihan pada jutaan tetamu Allah yang keluar dari Masjidil Haram.

Wanita berjubah dan berhijab serba hitam sambil menadah tangan sama ada duduk atau berdiri di tengah-tengah lautan tetamu Allah yang keluar dari Masjidil Haram juga adalah antara senario yang sering kita lihat apabila berkunjung ke Tanah Suci.

Bagaimanapun, pengemis sukar dilihat di Madinah. Mereka lebih tertumpu di Makkah kerana sedar kota yang menempatkan Baitullah itu lebih menjadi perhatian dan jemaah banyak menghabiskan masa di Makkah berbanding di Madinah.

Jika suatu ketika dahulu, pengemis di sekitar Masjidil Haram dapat dilihat di sebahagian besar kawasan tetapi disebabkan kepesatan pembangunan di sekitar masjid agung berkenaan menjadikan mereka bertumpu pula di kawasan Ajyad, Misfalah dan Shubaikah.

Sejurus keluar dari pintu Masjidil Haram dan menyusuri laluan di antara Hotel Hilton dan Zamzam Tower, anda pasti ternampak pengemis, si kecil, pemuda berusia dalam lingkungan 20-an dan wanita pertengahan usia menadah tangan dan kadangkala mencuit tubuh anda.

Laluan di depan Hotel Al-Safwa Royale Orchid sering menjadi tumpuan kerana hampir saban petang sesudah Asar, ramai pengemis muda duduk berderet menyanyi menghiburkan hati dengan misi mendapat perhatian jemaah yang lalu lalang di kawasan berkenaan.

Mereka kurang selesa jika gambar mereka cuba diambil dan aksi dirakamkan tetapi akan mengukir senyuman tatkala wang dihulurkan. Mereka tersengeh dan menganggukkan kepala tanda gembira serta puas hati.

Aktiviti mengemis selalunya paling rancak sejurus jemaah pulang daripada menunaikan solat Subuh dan berkurangan pada waktu Zuhur. Gelagat dan penampilan pengemis bermacam-macam. Ada yang cacat semula jadi dan tidak kurang menimbulkan keraguan di hati yang memerhati. Ada yang cepat naik berang jika tidak dilayan.

Difahamkan, ada antara pengemis sengaja ‘dicacatkan’ atau ‘mencacatkan’ anggota tubuh mereka kerana mudah meraih simpati.

Pengemis wanita selalunya memaksa tetamu Allah untuk menghulurkan bantuan dengan menjadikan bayi yang dikendong untuk menagih belas kasihan. Bertubuh agak besar dan selalunya mereka duduk bersila sambil meriba bayi dan menunjukkan jari telunjuk sebagai isyarat meminta SR1.

Tidak kurang juga yang lebih berani dengan mengekori jemaah atau memegang beg galas yang dibawa. Kadangkala timbul perasaan tidak selesa kerana didesak bertubi-tubi untuk menghulurkan sedikit wang. Adakala jemaah bimbang untuk memberi wang kerana sejurus mengeluarkan duit, kita turut dikejar pengemis lain yang berdiri berhampiran.

Si pengemis cilik kadangkala agak nakal dan gemar mengusik jemaah wanita yang membawa anak kecil sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan kanak-kanak terbabit. Anak saya tidak terkecuali daripada melalui pengalaman itu ketika kami sekeluarga berkunjung ke Tanah Suci pada 2007 untuk menunaikan umrah dan duduk di sekitar Shamia.

Hajar, yang ketika itu berusia enam tahun, menangis kerana terkejut apabila pengemis cilik mengeluarkan tangan yang kudung sambil menggoyang-goyangkan tangan berkenaan dan menunjukkan kepadanya.

Tangisan Hajar mengejutkan ramai jemaah yang berduyun-duyun  ke Masjidil Haram untuk memasuki Madinah Gate atau Umrah Gate pada suatu pagi. Kini, kedua-dua pintu masih ditutup kerana kerja-kerja perluasan masjid berkenaan.

“Dah…dah jangan takut sayang. Dia tak ikut kita. Dia tak berani masuk dalam masjid. Jangan nangis lagi,” pujuk saya sambil mengesat air mata yang mengalir deras di pipinya.

“Kita tak nak ikut Umi pergi masjid lagi. Kita nak duduk dalam bilik. Kita takut budak tu kejar kita nanti,” balas Hajar teresak-esak sambil tangannya memegang erat jari jemari saya.

“Hajar jangan takut. Ayah, umi ada. Dia tak berani buat apa-apa. Dia main-main saja. Dia usik Hajar,” ujar suami saya, Abdul Rahman menenangkan Hajar yang tidak pernah berenggang dengan bantal busuk hatta ke masjid atau berziarah.

Ramai yang mengusik Hajar kerana saban hari menggentel bantal busuk ke masjid atau ke mana-mana sahaja. Dia tidak menghiraukan usikan dan tawa kecil jemaah lain kerana hatinya mungkin tenang dengan bantal busuk yang dibawa dari tanah air. Saya hanya menurut sahaja kemahuan Hajar untuk membawa bantal busuk asalkan dia mahu mengikut kami solat berjemaah di masjid pada setiap waktu.

Hajar yang sentiasa bersama bantal busuknya.

Sejurus dikejutkan selepas azan pertama berkumandang menandakan lagi satu jam masuk solat fardu Subuh, saya mengejutkan Hajar, abang dan kakaknya untuk membersihkan diri sebelum ke masjid. Namun, saya tidak memaksa Hajar untuk bersolat ketika itu kerana dia masih mengantuk.

Justeru, saya akan terus menyarungkan tudung dan memimpinnya ke masjid. Dia tidak pernah lupa mencapai bantal busuk untuk dibawa bersama-sama ke masjid dan apabila tiba di masjid, Hajar akan terus lena di sisi saya sehinggalah azan solat Subuh dilaungkan. Kadangkala selesai azan, dia tidur kembali dan memeluk erat bantal busuknya.

Dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan kami di Shamia, Hajar kembali takut dan tidak selesa kerana terpaksa berhadapan dengan deretan pengemis yang rancak menyanyi dan menghulurkan tangan memohon bantuan.

Melihatkan riak wajah Hajar, suami saya akan melindunginya kerana kami juga menyedari si pengemis cilik gemar mengusiknya. Semakin Hajar takut, semakin kuat dia mengusik, iaitu dengan mengeluarkan tangan dan menggoyangkan sambil menunjukkan kepada Hajar. Mungkin si pengemis juga suka melihat reaksi Hajar yang ketakutan.

Lambakan pengemis semakin bertambah dengan kehadiran Ramadan. Ketika bulan puasa, bukan sahaja peningkatan jemaah yang merebut peluang untuk beribadat pada bulan penuh keberkatan dan menjanjikan ganjaran lumayan, tetapi pengemis juga merebut peluang untuk meraih simpati jutaan tetamu Ilahi.

Menurut laporan Arab News, pertambahan pengemis di Arab Saudi, terutama di sekitar Masjidil Haram berpunca daripada keyakinan golongan itu terhadap kemurahan hati jemaah umrah untuk bersedekah ketika Ramadan.

Malahan, ada pengemis tiba di Makkah secara berkumpulan sebelum Ramadan.

Pada 2012, Kementerian Haji Arab Saudi mengumumkan usaha membanteras pengemis dengan harapan dapat membebaskan kota suci itu daripada aktiviti kurang menyenangkan dengan mengusir mereka pulang tetapi usaha itu belum berjaya sepenuhnya.

Sampai bilakah senario pengemis jalanan ini berterusan?

Hakikatnya, tetamu Allah sukar membezakan pengemis tulen yang memerlukan bantuan atau pengemis yang menjadikan aktiviti menagih simpati sebagai satu daripada profesion atau mata pencarian.






Artikel Sebelum

Artikel Lain