ALOR SETAR: Seorang lelaki yang dipercayai suspek utama dalam kejadian serangan molotov cocktail ke atas sebuah bank di sini Rabu telah ditahan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, suspek ditahan pada pukul 11 malam tadi dirumahnya di Taman Bersatu, Batas Paip, Kuala Kedah. "Lelaki itu akan direman hari ini (Khamis) bagi membolehkan siasatan lanjut polis dijalankan," katanya dalam satu kenyataan. Dalam kejadian pukul 4.05 petang itu, pelanggan di sebuah bank menjadi gempar apabila seorang lelaki yang bermotosikal bertindak melontar bom petrol pada bahagian depan bank itu yang menyebabkan berlaku kerosakan kecil. Saksi berkata, suspek yang berusia dalam linkungan 30-an kemudiannya melarikan diri. Suspek sebelum itu dilapor marah dengan pihak bank tersebut apabila diberitahu akaunnya telah ditutup. Tindakannya melampar bom dirakam kamera litar tertutup di bank itu. Kes disiasat kerana mendatangkan bencana dengan api.-- Bernama