suria

KDN Serbu Kedai Jual Patung Bogel

Mohamad Hashim menunjukkan patung bogel yang berjaya dirampas. - foto MICHELLE TAM/The Star
SHAH ALAM: Patung bogel dan bahan penerbitan lucah bernilai RM14,234.20 antara yang dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu serbuan di sebuah pusat membeli-belah tersohor di Petaling Jaya pada Selasa.

Ketua Unit Penguatkuasa Negeri, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Mohamad Hashim Kamaruddin berkata, sebanyak 150 bahan penerbitan berbentuk baju, patung, alas tetikus, buku dan poster berunsur lucah dirampas.

"Nilai rampasan tersebut tidak termasuk GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan)," katanya yang mengetuai serbuan yang dilakukan pada pukul 11.30 pagi di tiga buah kedai di pusat membeli-belah itu.

Operasi tersebut turut disertai sembilan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Damansara.

Antara patung bogel yang turut dirampas termasuk karakter popular seperti Erza Scarlet dari Fairy Tail, Puteri Shirahoshi dari One Piece dan Mea Kurosaki dari To Love Ru Darkness.

Turut dirampas enam unit peralatan dengan lambang ganja termasuk rantai, stoking, beg dan topi.

Mereka yang didapati bersalah dibawah Seksyen 8 (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Serbuan itu bertujuan untuk membanteras pengedaran dan penjualan bahan penerbitan berunsur lucah.

Kesemua pemilik kedai yang menerima amaran mengenai penjualan barangan tersebut akan disoal siasat bagi membantu siasatan.

Ketika ditanya mengapa pemilik kedai berterusan menjual barangan lucah tersebut, Mohamad Hashim berkata ia adalah kes terpencil membabitkan bekalan dan permintaan.

"Generasi Y, khususnya, amat menggemari baju seperti itu," katanya.

Mohamad Hashim menggesa orang ramai untuk membuat laporan sekiranya ternampak kedai yang menjual barangan berunsur lucah di pusat membeli-belah atau pasar malam.

Orang ramai di negeri lain boleh memberi maklumat ke pejabat KDN di negeri masing-masing manakala mereka yang berada di Selangor boleh hubungi talian 03-55190349.




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain