Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka membuat pengumuman tersebut di Dewan Rakyat.
Rang Undang-Undang Hasutan (Pindaan) 2015 yang dibentangkan Dr Ahmad Zahid pada Selasa untuk bacaan kali pertama tetapi masih belum dibahaskan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong berkata Menteri Dalam Negeri mendengar maklum balas daripada Ahli Parlimen BN terhadap rang undang-undang itu dan akan ada beberapa penyesuaian kepada Rang Undang-Undang Hasutan (Pindaan) 2015.
Beliau berkata selagi rang undang-undang itu belum diluluskan, penambahbaikan masih boleh diperkenalkan tanpa mengira peringkat rang undang-undang tersebut.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad juga berkata pengumuman tersebut akan mengambil kira keprihatinan yang dinyatakan Ahli Parlimen BN terutama mereka dari Sabah dan Sarawak.
"Beberapa pindaan akan ditarik balik. Tunggu menteri umumkannya," kata Shahrir.
Beliau menjelaskan bahawa antara rungutan yang membimbangkan adalah perkara berkaitan pemisahan.
Rang undang-undang itu bertujuan untuk mengenakan hukuman terhadap sesiapa sahaja yang menyemai perasaan benci dan permusuhan antara individu atau kumpulan atas dasar agama.
Ia juga bertujuan menjadikan suatu kesalahan kepada mana-mana individu atau kumpulan yang menuntut pemisahan mana-mana negeri di Malaysia.
Shahrir berkata terdapat penyokong yang bimbang mengenai pindaan yang menyentuh isu agama.
"Dan terdapat persoalan mengenai rang undang-undang itu menjadi sub judice," katanya.