suria

LKIM Senarai Hitam Peniaga Naikkan Harga Kerana GST

JOHOR BAHARU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan menyenarai hitam mana-mana peniaga yang sengaja menaikkan harga jualan ikan dengan alasan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sejak awal bulan ini.

Pengerusinya Datuk Irmohizam Ibrahim berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan itu sebagai pengajaran kepada peniaga agar lebih bertanggungjawab terhadap perniagaan mereka.

"Perlu diingatkan, ikan segar tidak dikenakan CBP. Jadi, jangan ada di antara peniaga yang menggunakan alasan tersebut bagi menaikkan harga," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian elaun sara hidup RM300 seorang kepada 305 orang nelayan di Kampung Pasir Gudang Baru, di sini. Jumaat.

Irmohizam, yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor berkata, pihaknya bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan melakukan pemantauan berterusan bagi mengekang sebarang manipulasi oleh peniaga berikutan pelaksanaan CBP.

Beliau berkata elayan dan pengguna, dalam masa yang sama juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan kepada Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi diambil tindakan.

"Saya ada menerima maklumat secara terus mengenai kenaikan harga di beberapa pasar, bukan pasar tani. Saya lihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius kerana kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa dan akhirnya membenci dasar yang dilaksana kerajaan.

"Buat masa ini belum ada mana-mana peniaga yang disenarai hitam, namun, tindakan untuk menyenarai hitam ini adalah sebagai langkah pencegahan supaya para peniaga menjual ikan pada harga berpatutan kepada pengguna," katanya.

Sementara itu, Irmohizam turut mengumumkan pembinaan tiga lagi pasar nelayan di negeri ini tahun ini termasuk di Kampung Pasir Gudang Baru, bagi memasarkan ikan segar kepada pengguna sekali gus meningkatkan pendapatan nelayan pesisir pantai berkenaan.

Beliau berkata keseluruhannya, 50 pasar nelayan akan dibina di seluruh negara tahun ini dengan kos RM200,000 sebuah, selepas pembinaan 48 pasar nelayan di seluruh negara, tahun lepas.

Katanya, Kampung Pasir Gudang Baru yang terkenal dengan penternakan kupang juga berpotensi untuk dimajukan sebagai medan kupang bakar bagi menarik kehadiran penggemar makanan laut dan pelancong.

GST, Ikan

Artikel Lain