Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata pihaknya berpendapat segala kritikan diterima Najib dibuat sebenarnya tanpa melihat secara keseluruhan kerja dan usaha beliau untuk membawa Malaysia ke tahap negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi pada 2020.
"Pelbagai perancangan kerajaan seperti program transformasi, rasionalisasi subsidi serta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mempunyai impak yang besar kepada rakyat.
"Umno Selangor yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri dengan sokongan padu Timbalan Perdana Menteri dan barisan kabinet serta rakyat jelata beliau akan dapat memacu negara ini lebih maju lagi di masa hadapan," katanya dalam sidang media di Bangunan Umno Selangor di sini Jumaat.
Noh berkata selain Umno Selangor, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor turut menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Najib.
Beliau dalam pada itu berkata pihaknya turut menyokong ketelusan Najib mengarahkan Ketua Audit Negara untuk menyemak akaun 1MDB dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai wakil pembangkang untuk menyiasat akaun syarikat itu.Ini katanya, membuktikan bahawa Perdana Menteri tidak menyembunyikan apa-apa dalam isu 1MDB, malah Najib juga menegaskan tidak akan melindungi jika berlaku salah guna kuasa dalam syarikat itu.
"Umno Selangor juga berharap semua jawapan yang diberi oleh Perdana Menteri dalam Program Soal Jawab di TV3 pada Khamis diterima dengan berlapang dada oleh semua pihak.
"Perdana Menteri telah menjawab dengan tenang semua soalan yang diajukan meliputi semua perkara dari ekonomi, pembangunan dan juga isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir," katanya."Bagi menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri juga, Umno Selangor telah bersetuju bahawa setiap Umno Bahagian di negeri ini akan membuat usul menyokong kepimpinan Najib dalam mesyuarat agung bahagian masing-masing," katanya.