suria

Mayat Kedua Mangsa Lemas Ditemukan

JOHOR BAHARU: Mayat seorang lagi lelaki, yang hilang dibawa arus ketika memancing di Pantai Tanjung Resang, Mersing, dijumpai tidak jauh dari tempat mayat rakannya ditemukan pada Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau Sulong Khaled berkata mayat Mat Sofian Che Haron, 23, ditemukan kira-kira 1 pagi Ahad oleh anggota keluarganya yang berkampung di tepi pantai berkenaan untuk mencarinya.

"Setelah bomba menghentikan sementara usaha mencari dan menyelamat mangsa tengah malam tadi, sebahagian daripada anggota keluarganya nekad untuk mencari mangsa di pantai tersebut sebelum menemukan mangsa terdampar di sebuah bongkah batu di tepi pantai berkenaan," katanya yang dihubungi pada Ahad.

Mayat Mat Sofian yang berasal dari Kampung Jawa, Rompin, Pahang dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat, katanya.

Mayat rakannya Mohd Hanapiah Yusof, 43, dari Endau, Rompin yang turut hilang dihanyutkan arus deras dijumpai oleh pasukan anggota bomba kira-kira pukul 3 petang Sabtu.

Mat Sofian dan Mohd Hanafiah dikatakan datang ke pantai itu pada pukul 10.30 pagi semalam bersama-sama dua lagi rakan.

Kedua-dua mereka dan seorang lagi rakan kemudiannya memancing di atas batu besar kira-kira 80 meter dari pesisir pantai. Selepas memancing kira-kira dua jam, ketiga-tiga mereka mula menyedari bahawa mereka telah terperangkap di atas batu itu akibat air pasang dan kemudian berenang ke pantai dalam keadaan panik.

Bagaimanapun, menurut bomba seorang daripada mereka berjaya sampai ke pantai manakala dua orang lagi hilang dihanyutkan arus deras.

Mersing, Lemas

Artikel Lain