BUKIT MERTAJAM: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh sebagai satu signifikan besar untuk membuktikan Barisan Nasional (BN) terus teguh berdiri membela nasib penduduk di kawasan itu. Beliau berkata parti telah mengadakan pertemuan dan perbincangan serius tentang apa yang harus dilakukan supaya pilihan raya kecil kali ini memberi makna dan melakar sejarah baharu di Permatang Pauh. "Di mana tekad dan azam untuk melihat Permatang Pauh kembali semula kepada BN. Ada pelbagai pihak melihat UMNO dan BN sebagai parti 'underdog'. Ini bermakna seolah-olah kita berhadapan dalam situasi yang agak sukar dan mencabar. Tetapi tiada apa yang mustahil di dalam politik. Perjuangan ini harus diperjuangkan bermati-matian," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan khas bersama kepimpinan UMNO Bahagian, komponen BN, ketua-ketua Cawangan dan ketua-ketua pusat daerah mengundi (PDM) Parlimen Permatang Pauh, di Wisma Transformasi UMNO Bahagian Permatang Pauh, di sini, Ahad. Yang turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan pemimpin tertinggi parti komponen BN negeri. Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata BN perlu bekerja lebih kuat dan bergerak dalam satu pasukan untuk mencapai kemenangan di Permatang Pauh. "...untuk mendaki puncak gunung bermakna kita harus bekerja dengan lebih kuat. Ini terbukti pada pilihan raya umum yang lepas kita berjaya mengurangkan jumlah undi. Hampir 40 peratus mengundi kepada calon BN," katanya. Beliau turut mengingatkan jentera parti untuk memberi tumpuan kepada pengundi dalam usaha memberi penerangan dan penjelasan berhubung isu-isu berbangkit. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Permatang Pauh diadakan pada 7 Mei ini, penamaan calon pada 25 April manakala pengundian awal pada 3 Mei. PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.