suria

Beri Peluang Najib Pimpin Negara Dengan Pendekatan Sendiri - Hasan

KUALA PILAH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diberi peluang memimpin negara dengan pendekatan sendiri, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Hasan Malek.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu berkata sebagai pemimpin berwibawa, Najib sentiasa meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi segala-galanya.

"Kita akui mungkin ada sedikit sebanyak kelemahan tetapi itu lumrah dalam sesebuah kepimpinan. Tiada mana-mana kepimpinan yang sempurna sebab kita manusia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan UMNO Cawangan Kuala Jemapoh dekat sini, Ahad.

Katanya apa yang penting, kepentingan negara dan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan di bawah kepimpinan Najib.

"Sememangnya kita amat menghormati apa juga pandangan (bekas perdana menteri) Tun Dr. Mahathir (Mohamad) memandangkan beliau adalah seorang negarawan," katanya berhubung kritikan Dr Mahathir terhadap Najib baru-baru ini.

Beliau berkata beri ruang dan peluang seluasnya kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan tugas dengan jayanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain