suria

Pengecilan Kakitangan MAS Wajar Dilakukan - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Usaha 'menyelamatkan' Malaysian Airlines System Bhd (MAS) wajib dimulakan dengan mengurangkan jumlah kakitangannya kepada satu saiz yang lebih berdaya maju, menurut seorang penganalisis.

Malah, langkah MAS untuk mengurangkan sebanyak 6,000 daripada keseluruhan 20,000 tenaga kerjanya adalah 'paling penting' demi 'survival' atau kelangsungan syarikat penerbangan nasional itu, tegas Penganalisis penerbangan Maybank Investment Bank, Mohshin Aziz.

Dalam pelan pemulihannya, langkah-langkah seperti penamatan laluan penerbangan serta perkhidmatan yang merugikan itu telah atau sedang dilaksanakan yang menyebabkan pemberhentian kakitangan tidak lagi diperlukan, sememangnya tidak dapat dielakkan.

Isu paling kritikal sekarang, kata Mohshin, adalah kelangsungan MAS itu sendiri dan inilah masanya untuk meneruskan apa juga langkah yang sudah sekian lama tertangguh.

"Jadi saya rasa (langkah) yang lebih penting itu perlu kita lakukannya sekarang juga. Ia tidak boleh ditangguhkan lagi. Jika kita tangguh, maka syarikat penerbangan itu tidak akan pulih dan mungkin juga menjadi lebih teruk lagi," katanya.

Mohshin berkata berbanding syarikat-syarikat penerbangan yang lain, MAS juga terlalu banyak dibebankan dengan masalah berkaitan kesatuan-kesatuan sekerjanya yang disifatkan menjejaskan prestasi komersialnya.

"Kalau terlalu memikirkan tentang isu kesatuan-kesatuan sekerja, bagaimanakah MAS dapat bersaing dengan syarikat-syarikat di serata dunia yang tidak mempunyai masalah kesatuan sekerja?" katanya.

Atas dasar itu, tegas Mohshin, pengorbanan perlu dilakukan berdasarkan pertimbangan komersial semata-mata walaupun ianya merupakan perkara yang pahit atau 'tidak popular.'

"Banyak syarikat lain yang telah melalui proses perberhentian pekerja.

Institusi perbankan seperti CIMB, bank-bank lain, syarikat minyak dan gas seperti Petronas serta anak-anak syarikat sistem vendor juga sedang melalui proses sama.

"Begitu juga syarikat telekomunikasi seperti Maxis, DiGi, Celcom juga sudah beberapa kali melaluinya. Oleh itu, ia perkara biasa dalam syarikat komersial dan Malaysia Airlines itu sendiri adalah sebuah syarikat komersial."

Ditanya mengenai tawaran syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia untuk mengambil sebahagian kakitangan MAS yang akan diberhentikan itu, Mohshin berkata di awal permulaan AirAsia sekitar 2002, 2003, 2004, hampir 90 peratus pekerjanya adalah bekas kakitangan MAS.

"Malah syarikat penerbangan baru Malindo juga melalui fenomena yang sama dan ramai pekerjanya sebelum ini pernah berkhidmat dengan MAS dan AirAsia," katanya.

Menurut mohshin, jika seseorang pekerja mempunyai kemahiran yang boleh atau bersesuaian dengan pasaran, maka dia sememangnya boleh 'melompat' untuk berkhidmat dari satu syarikat ke syarikat yang lain tanpa banyak masalah.

Beliau turut menjelaskan, dalam merasionalisasikan laluan-laluan perkhidmatannya, banyak laluan yang akan dimansuhkan seperti ke Eropah dan juga Asia Barat manakala perkhidmatan di serantau Asia juga mungkin tidak terkecuali apabila kekerapannya dikurangkan.

"Perkhidmatan yang berkurangan menyebabkan jumlah pesawat juga perlu dikurangkan. Apabila ini berlaku maka jumlah pekerja yang diperlukan pun akan berkurangan.

"Langkah ini adalah sebahagian daripada sistem dan atas alasan itulah amat  penting bagi tenaga kerjanya dikurangkan. Jika tidak, pekerja ini mungkin tiada kerja kerana dalam satu-satu jenis penerbangan hanya boleh membawa 10 atau 12 pekerja sahaja. Oleh itu, kalau ada 20 atau 30 pekerja, ia terbukti melebihi keperluan.

"Bagi MAS, ini merupakan soal hidup atau matinya. Saya rasa rakyat sendiri muak mendengar akan berlaku penstrukturan semula setiap dua hingga tiga tahun.

Jadi, saya rasa yang inilah yang terakhir.

"Malah, inilah peluang terakhir. Jika gagal juga kali ini, mungkin apa yang perlu adalah sama ada mansuhkan sahaja ataupun bina semula. Tapi apa yang nyata kita tidak boleh ulang, ulang dan ulang (benda yang sama)," katanya.

Mengulas mengenai cabaran yang bakal dihadapi Christoph Muller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu MAS, Mohshin menjelaskan, untuk mana-mana organisasi, apa yang paling penting adalah bekerja secara satu pasukan tidak kiralah sama ada ianya melibatkan bilangan sekecil 10 pekerja sehinggalah 10,000 pekerja.

"Tapi kalau semua yang terlibat itu bertindak mengikut keingingan sendiri, terbukti berbeza haluan, sudah pasti syarikat itu juga tidak akan ke mana.

"Inilah cabaran yang paling penting untuk Mueller ataupun CEO mana-mana syarikat," tambahnya.

Mohshin turut menyifatkan Mueller menggalas tugas penting iaitu harus memastikan semua kakitangannya pada semua peringkat untuk bekerja sebagai satu pasukan dengan hala tuju yang sama serta seiringan.

Bagaimanapun, bagi kelompok yang enggan berbuat demikian kerana berpendirian sebaliknya haruslah diberhentikan demi mencapai objektif yang satu demi kelangsungan MAS.

MAS

Artikel Lain