KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di Djibouti, Ahad sebagai persediaan membawa keluar 67 pelajar Malaysia di Aden, antara lokasi paling tidak menentu dan tegang di Yaman. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kesemua pelajar berkenaan seterusnya akan diterbangkan ke Jeddah, selepas berjaya dikeluarkan dari Aden untuk dibawa balik dengan penerbangan komersial. Beliau berkata, ketika ini Aden menjadi fokus kementerian dan agensi terlibat dalam misi membawa keluar rakyat Malaysia memandangkan kawasan itu terlibat dalam pertempuran. Hishammuddin berkata, agensi terlibat iaitu Kementerian Pertahanan, Majlis Keselamatan Negara dan Wisma Putra terus menerus memantau keadaan pelajar negara, terutama di Aden. "Setakat semalam pukul 3 pagi mereka berada dalam keadaan makan minum dan kedudukan masih selamat, yang penting orang kena faham Aden kawasan pertempuran, bukan sahaja (rakyat) negara kita tapi negara luar pun terperangkap," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan istiadat penganugerahan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera(DKAT) sesi kedua 2014 kepada 358 penerima di sini, Isnin. Selain pelajar Malaysia, beliau berkata Malaysia sebagai Pengerusi Asean, turut mempunyai tanggungjawab terhadap pelajar-pelajar dari negara anggota Asean. "Kami boleh tumpangkan juga pelajar mereka, selain itu, sebagai pengerusi juga kami dapat berkongsi maklumat dengan negara-negara Asean lain dan bekerjasama bagi membolehkan proses evakuasi berjalan lebih lancar," katanya. Hishammuddin turut bersyukur mendapat kerjasama daripada negara lain seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Djibouti dan Oman, yang membenarkan pesawat negara mendarat di negara masing-masing, seterusnya melicinkan lagi proses membawa keluar rakyat negara. Pesawat milik TUDM itu diterbangkan daripada UAE selepas tiba bersama sebuah lagi pesawat jenis sama, Rabu lepas. Dalam perkembangan sama, beliau berkata seramai 168 rakyat Malaysia telah berjaya dikeluarkan dari Hadramawt ke Salalah, Oman, dan akan dihantar pulang ke tanah air melalui tiga penerbangan komersial, Ahad. Menurutnya, penerbangan pertama melibatkan 70 orang menaiki penerbangan QR1143 dari Salalah, Oman ke Doha, Qatar seterusnya menaiki penerbangan QR852 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba pada pukul 8.50 malam. "Penerbangan kedua seramai 52 orang menaiki penerbangan WY904 dari Salalah ke Muscat, Oman, seterusnya QR1127 ke Doha dan QR844 ke KLIA. Mereka dijangka tiba 8.25 pagi esok. Penerbangan ketiga seramai 46 orang, menaiki penerbangan WY916 dari Salalah ke Muscat, seterusnya menaiki QR1133 ke Doha dan QR852 ke KLIA. Mereka dijangka tiba 8.50 malam esok," katanya. Hishammuddin berkata, setakat ini, sebanyak 276, termasuk 168 yang akan dihantar pulang ke tanah air telah berjaya dibawa keluar dari Hadramawt, manakala persediaan sedang dijalankan bagi membawa keluar 193 lagi dari lokasi sama, Selasa. Ditanya sama ada terdapat pelajar atau rakyat Malaysia menyertai peperangan di negara itu, beliau berkata sepanjang pengetahuannya tidak wujud perkara sedemikian. "Saya sekali lagi menyeru rakyat Malaysia yang masih berada di Yaman dan berpendirian untuk terus tinggal di sana agar mempertimbangkan keputusan mereka," katanya. Misi membawa keluar rakyat Malaysia di Aden dan Hadramawt adalah fasa kedua selepas ia dimulakan Selasa lepas, melibatkan rakyat Malaysia di Sana'a dan Hudaidah. Keadaan di Yaman bergolak selepas tentera Arab Saudi yang disertai tentera pakatan Teluk melancarkan operasi ketenteraan bagi menyelamatkan pemerintahan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi daripada konflik perang saudara.-- Bernama