suria

Jangan Jadi Batu Api - Mas Ermieyati

Mas Ermieyati Samsuddin

KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin menggesa semua pihak supaya tidak bersikap umpama batu api hingga  memburukkan lagi keadaan antara presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, walaupun tidak mendapat penjelasan mengenai isu berkenaan kerana kekangan masa, tetapi Puteri Umno faham perlu adanya persepakatan dan penyatuan untuk menempuh cabaran lebih besar.

Menurutnya, jika tiada perpaduan dalam isu ini, sudah tentu ia tidak dapat diselesaikan dengan baik.

"Kalau ada perkara yang tidak betul, buat dalam suasana kekeluargaan. Kita nyatakan dan rungkaikan antara kita dahulu.

"Ini bukan masanya untuk 'mengipas' (membodek) dengan hanya bercakap tentang perkara yang baik-baik sahaja kerana orang akan meluat dan benci.

"Saya harap semua pihak juga tidak jadi batu api atau meletakkan minyak dalam api supaya ia lebih marak," katanya pada sidang media selepas perjumpaan ketua-ketua Puteri Umno bahagian bersama presiden parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.

Mas Ermieyati berkata, tempoh masa sekarang penting untuk memastikan setiap kepimpinan memahami situasi yang dihadapi bagi membolehkan parti menempuh cabaran getir ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, presiden memberi penerangan dan membuka ruang agar setiap kepimpinan Puteri Umno untuk memahami erti cabaran yang sebenar dalam parti.

"Perlu ada persefahaman, sokongan dan bersatu-padu dalam menangani isu yang melibatkan parti dan negara.

"Kita sekali lagi bersama-sama dengan presiden untuk membantu menggalas tanggungjawab dan tugas yang belum selesai," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pucuk pimpinan supaya mempersiapkan diri dengan segala maklumat agar mudah untuk mendepani cabaran termasuk daripada media sosial.

Artikel Berikut

Artikel Lain