KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Umno Sabah pada Rabu membuat laporan polis terhadap pemegang akaun Facebook (FB) bernama 'Jo Nandu' berhubung tulisan dan postingnya yang mengugut serta mengancam Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan keluarganya. Laporan itu dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Umno Negeri Ir Shahelmey Yahya bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Beaufort, Ranau, Kudat, Kalabakan, Sandakan dan Beluran, di Balai Polis Karamunsing. Bercakap kepada pemberita di luar balai polis Karamunsing, Shahelmey berkata Pemuda UMNO Sabah memandang serius posting FB yang berupa ancaman dan ugutan keselamatan kepada ketua menteri Sabah itu. "Justeru, Pemuda UMNO Sabah mahu pihak keselamatan terutama polis menyiasat dan menangkap pemegang akaun FB tersebut dengan segera kerana telah menghina, mengancam dan mengugut pemimpin utama negeri Sabah," tegasnya.