GEORGE TOWN: Dua beranak yang tidak berpuas hati dengan tindakan seorang anggota polis trafik menyaman mereka di Jalan Patani di sini, didakwa meludah dan menampar muka anggota trafik itu. Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata kereta yang dinaiki dua lelaki itu ditahan anggota trafik pada pukul 9.50 malam kerana mereka didapati tidak memakai tali pinggang keledar. "Anggota polis terbabit meminta kad pengenalan dan lesen memandu ahli perniagaan berusia 31 tahun itu dan mendapati ia telah tamat tempoh sejak tahun lepas. "Semasa menulis saman, lelaki yang duduk di tempat penumpang keluar dan merayu agar polis tidak menyaman anaknya, tetapi anggota polis itu tidak menghiraukannya," katanya di sini, Rabu. Beliau berkata anggota polis itu kemudian meminta pemandu kereta berkenaan menandatangani saman yang dikeluarkan dan menyerahkan salinannya kepada lelaki terbabit. Mior Faridalatrash berkata setelah menyerahkan salinan saman itu, lelaki berusia 67 tahun itu mengeluarkan kata-kata kurang enak dan tiba-tiba meludah ke arah muka anggota polis itu. "Anggota polis berkenaan cuba menahan lelaki itu menyebabkan anaknya keluar dari kereta dan menampar muka anggota trafik itu. Kedua-dua beranak itu ditahan oleh dua lagi polis yang berada di tempat kejadian," katanya. Beliau berkata dua beranak itu berasal dari Bukit Mertajam, dekat sini dan dalam perjalanan ke George Town atas urusan perniagaan dan mereka kini direman tiga hari bagi membantu siasatan.