suria

SPAD Sita 'Easy Taxi" Sapu

Gambar hiasan.

SEPANG: Tiga kenderaan persendirian tidak berlesen untuk mengambil penumpang di sekitar Lembah Klang melalui aplikasi 'EasyTaxi' disita dalam operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Selasa malam.

Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata penggunaan aplikasi itu dikesan mula beroperasi sejak awal bulan ini serta bergiat aktif di sekitar Lembah Klang, dengan dianggarkan 12 kenderaan atau teksi sapu terlibat menjalankan perniagaan terbabit.

"Walaupun hanya tiga kenderaan yang berjaya disita, kami percaya operasi yang pertama kali diadakan ini akan memberi amaran keras kepada mereka yang terbabit dan kami akan meneruskan operasi ini sehingga mendapat dalang yang bertanggungjawab mewujudkan aplikasi berkenaan," katanya.

Che Hasni juga berharap penumpang tidak menggunakan aplikasi tersebut kerana selain beroperasi secara haram, perkhidmatan itu juga tidak mempunyai perlindungan insurans jika berlaku kemalangan.

"Malah, penggunaan aplikasi EasyTaxi juga tidak adil dan menjejaskan periuk nasi pengusaha dan pemandu teksi yang berlesen," katanya kepada media selepas menjalankan operasi tersebut di sini.

Che Hasni berkata bagi kenderaan yang ditahan kerana menjalankan perniagaan terbabit akan disita dan mereka yang terbabit akan dikenakan hukuman tidak melebihi RM10,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Dalam operasi sama, katanya SPAD juga menyita sembilan teksi yang tidak menggunakan meter.

"Jika disabitkan kesalahan, pemandu teksi yang tidak menggunakan meter boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Easy Taxi, SPAD

Artikel Lain