suria

Bertamu Ke Kediaman Prof Kamil Di Uhud

Prof Muhd Kamil bersama keluarga tersayang.

ASSALAMUALAIKUM. Pasti ramai pembaca  mengenali penulis  tersohor yang banyak menghasilkan buku berkaitan travelog Tanah Suci Madinah dan Makkah, iaitu Prof Muhd Kamil Ibrahim yang pernah bertugas sebagai profesor Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Nama Prof Muhd Kamil terus meniti bibir sebahagian besar umat Islam di negara ini setelah hasil karyanya berjudul Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman menjadi perhatian ramai.

Berikutan sambutan hangat, beliau terus aktif menulis dan menghasilkan beberapa judul buku seperti Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok, Bersyukur Saat Diuji, Anekdot Madinah dan Travelog Haji Mengusik Hati.

Ketika berkunjung ke Tanah Suci pada Februari 2012, saya becadang untuk bertemu Prof Kamil di Madinah Munawwarah setelah mengetahui beliau berpeluang bertugas di Universiti Taibah. Kira-kira seminggu sebelum berangkat,  saya menghantar emel kepadanya dan mengatakan mahu bertemu di Madinah dengan beberapa jemaah lain. 

Ketika itu saya adalah seorang pengarang di sebuah majalah tempatan. Saya memaklumkan kepadanya akan menemuramah beliau sekeluarga dan gambarnya akan dirakam oleh jurugambar, Jahariya. 

Alhamdulillah beliau bersetuju.  Saya maklumkan kepadanya akan menghubungi dan memberi maklumat terkini sehari dua sebelum berangkat ke Tanah Suci. Jadual asal kami adalah memasuki kota Madinah tetapi dua hari sebelum berangkat, pengurusan agensi pelancongan memaklumkan bahawa semua jemaah akan memasuki Makkah terlebih dahulu.

Saya perlu memaklumkan kepada Prof Kamil kerana sebelum itu beliau difahamkan bahawa kami akan memasuki Madinah. Saya cuma sempat meninggalkan pesanan menerusi emel dan berharap beliau memahami pertukaran pada saat-saat akhir itu.



Setelah tiba hari dijanjikan berangkatlah kami seramai 18 orang ke Tanah Suci melalui pesawat Emirates. Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada waktu Subuh. Kedengaran azan berkumandang di dalam terminal. Semua jemaah terus menuju ke musolla untuk menyempurnakan solat fardu Subuh.

Kami turut bersiap sedia untuk berihram. Transit tiga jam di Dubai terasa begitu singkat. Ketua rombongan menasihatkan jemaah agar berniat ihram di atas pesawat sejurus dimaklumkan oleh juruterbang.  Kira-kira tiga jam kemudian, pesawat Emirates A380 tiba di Jeddah. Alhamdulillah.

Selepas melalui pemeriksaan imigresen yang begitu lancar, kami menaiki bas dan mengeliling sekitar kota Jeddah dan berhenti untuk menunaikan solat Jumaat di masjid terapung atau Masjid Ar-Rahmah. Selesai solat, kami berangkat ke Makkah dan mula bertalbiah semula buat beberapa ketika sebelum hampir semua jemaah melelapkan mata kerana keletihan.

Apabila mutawif mencapai mikrofon dan memulakan bicara, semua jemaah bangun mendengar taklimat ringkas yang disampaikan. Kira-kira setengah jam kemudian, kami tiba di Dar Al-Marshat yang terletak di kawasan Ajyad.

Setelah daftar masuk hotel selesai, tanpa berlengah, semua jemaah berkumpul di lobi penginapan untuk menyempurnakan rukun umrah iaitu tawaf, saie di antara Safa dan Marwah serta bertahalul. 

Selesai umrah dan melempiaskan kepenatan, saya menghubungi Prof Kamil untuk memberi maklumat terkini mengenai jadual yang sudahpun bertukar. Beliau sedia maklum setelah membaca emel saya.

Setelah sembilan malam di Makkah, kami berangkat ke Madinah selepas menyempurnakan tawaf wada’ pada kira-kira jam 2.30 petang. Ketika meninggalkan kota Makkah, hujan lebat seketika tetapi reda semula sebelum kami menaiki bas.

Suasana di persekitaran Masjid Nabawi.

Dalam perjalanan ke Madinah menaiki bas mewah atau VIP, semua terpaku seketika apabila terlihat ribut pasir. Bas tampak berdebu tetapi syukur pemandu cekap mengendalikan bas. Jurugambar memohon untuk turun sebentar di lebuh raya untuk mengambil gambar. 

Walaupun cuaca amat redup dan agak dingin, saya memakai cermin mata untuk mengelakkan mata dimasuki pasir apabila turun dari bas bersama-sama Jahariya. Hampir tujuh jam dalam perjalanan, kami tiba di depan hotel Wassem Al-Reem di Madinah.

Kelihatan jemaah keluar dari Masjid Nabawi yang tersergam indah. Hampir jam 9 malam. Mereka baru menyempurnakan solat Isyak. Indahnya Madinah yang menempatkan makam Rasulullah S.A.W dan sahabat. Aman dan tenang ketika kaki 
menjejaki bandar bercahaya itu.

Esoknya, saya terus menghubungi Prof Kamil untuk memaklumkan bahawa kami telah tiba di Madinah dan menetapkan tarikh untuk bertemunya serta keluarga. 

“Assalamualaikum Prof Kamil. Saya, Raihanah,” ujar saya memula bicara di dalam telefon.

“Waalaikumsalam,” jawab beliau ringkas.

“Bila boleh boleh jumpa Prof?” soal saya lagi.

“Esok malam awak tunggu saya di depan laluan turun ke tempat meletak kenderaan nombor 11 di perkarangan masjid,” jawab beliau.

“Oh ok. Insha Allah. Terima kasih Prof,” balas saya.

“Berapa orang datang?” tanya Prof Kamil.

“Kami semua 18 orang tapi yang akan jumpa Prof, insha Allah tujuh orang,” balas saya.

“Kalau macam tu, datang rumah saya. Jumpa esok. Insha Allah,” ujar Prof Kamil lagi.

Alhamdulillah, Prof Kamil sudi menjemput ke rumah beliau. Hati mula teruja dan saya turut maklumkan pada rakan-rakan jemaah yang juga berminat untuk menemui Prof Kamil serta isteri.

Prof Kamil bersama isterinya, Roza dan dua anak, Ahmad Amirul Imran dan Farah Sofea.

Selepas solat Isyak esoknya, saya dan enam lagi jemaah berkumpul di depan kawasan dijanjikan. Tidak lama selepas itu muncul Prof Kamil dan anak lelaki beliau. Saya menghampiri beliau dan memperkenalkan diri dan rakan jemaah lain.

Beliau tersenyum dan memperkenalkan saya pada isterinya, Raudzah atau lebih dikenali sebagai  Roza serta kedua-dua anak mereka yang comel. Pasangan itu bersama-sama anak mereka iaitu Ahmad Amirul Imran dan Farah Sofea menetap seketika di Madinah pada September 2011 kerana Prof Kamil mengajar di Universiti Taibah di Madinah.

Kira-kira 10 minit kemudian kami tiba di depan apartmen pasangan berkenaan, yang disewa dengan harga RM20,000 setahun. Indah kawasan sekitar apartmen Prof Kamil. Selalunya jemaah umrah dan haji berpeluang melihat Bukit Uhud pada waktu siang ketika berziarah tetapi kunjungan pada sebelah malam di sekitar Uhud membuka peluang kepada kami untuk melihat keindahan Bukit Uhud pada waktu malam. Kagum dengan keindahannya pada sebelah malam kerana bermandi cahaya 
kekuningan dari lampu di sepanjang jalan.

Di lereng bukit itu tercetus perang Uhud membabitkan tentera Islam dan kafir Quraisy. Lereng bukit itu beralun-alun dan panjangnya dari arah tenggara ke barat laut ialah sekitar 7,000 meter manakala lebar di bahagian tengah adalah 4,500 meter. Di lereng bahagian tengah dan barat Bukit Uhud bersemadinya syuhada’ peperangan itu.

Apartmen pasangan itu besar dan serba selesa. Menempatkan tiga bilik tidur dan beberapa ruang utama. Dalam pertemuan itu, kami berpeluang mendengar tazkirah daripada Prof Kamil. Selain kami tujuh orang, ada lagi beberapa jemaah kenalan Prof Kamil dan Roza datang bertamu.

Prof Kamil ketika menyampaikan tazkirah di kediamannya di Uhud.

Dalam tazkirah pada malam itu, Prof Kamil menasihatkan jemaah umrah agar terus meningkatkan lagi amalan, terutama solat, puasa sunat, qiamulail dan memelihara aurat khususnya wanita sekembali ke tanah air.

“Di Tanah Suci wanita begitu memelihara aurat. Bertudung labuh, berstoking dan memakai sarung lengan tetapi ramai yang tidak lagi mengamalkannya apabila pulang ke tanah air. Bukankah itu kerugian. Sebaik-baiknya kekalkan apa yang sudah kita laksanakan di Tanah Suci,” ujar Prof Kamil.

Beliau menasihatkan agar wanita mengenakan pakaian ‘ready’ solat kerana memudahkan mereka untuk bersolat dimana-mana sahaja. Beliau menganggap pemakaian telekung umpama kemestian di kalangan wanita di Malaysia untuk bersolat tetapi jika wanita sudahpun menutup aurat sepenuhnya, ia lebih memudahkan mereka.

Selesai tazkirah, anak pasangan itu, Farah Sofea membantu ibunya menghidangkan nasi Bukhari, jus buah-buahan dan teh yang direndam bersama-sama daun pudina. Tidak lengkap hidangan utama tanpa pencuci mulut. Sehubungan itu, Roza menyajikan basbousa, manisan yang begitu popular di kalangan masyarakat Asia Barat.

Selesai menikmati hidangan, Roza mempelawa kami meninjau apartmen mereka. Selepas itu, kami memohon diri untuk pulang kerana hampir lewat malam.

Prof Kamil, Uhud, Travelog Dakwah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain