suria

240,000 Penjawat Awam Jalani Sesi Intervensi Kaunseling JPA Tahun Lepas

Penjawat awam positif terhadap sesi intervensi kaunseling JPA. Gambar Hiasan

KUANTAN: Hampir 240,000 orang atau 15 peratus dari 1.6 juta penjawat awam menjalani sesi intervensi kaunseling bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun lepas.

Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Datuk Dr Abdul Halim Hussin berkata setakat ini maklum balas yang diterima daripada penjawat awam yang menjalani sesi intervensi kaunseling dijalankan oleh kaunselor JPA yang diletakkan di setiap jabatan, adalah positif.

"Pelbagai inisiatif yang dijalankan ketika sesi intervensi dijalankan, ini termasuk jika penjawat awam berkenaan berhadapan masalah kewangan kita rujuk mereka kepada pihak AKPK (Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit).

Begitu juga jika mereka menghadapi masalah kesihatan, kita membantu mereka mendapatkan rawatan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian Program JPA4-Hari Terbuka Psikologi-Transformasi Diri Di Era Globalisasi peringkat Negeri Pahang oleh Ketua Pengarah Perkidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal di sini, Khamis.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Abdul Halim berkata, setakat ini secara keseluruhan masalah psikologi dalam kalangan penjawat awam adalah kecil ekoran pihak JPA telah mengadakan pelbagai program dan inisiatif bagi memastikan penjawat awam sentiasa mendapatkan nasihat daripada kaunselor yang diletakkan di setiap jabatan.

"Kita turut membuat program persediaan bagi penjawat awam yang bakal bersara termasuk memberi nasihat dari sudut kewangan mahu pun spiritual agar mereka bersedia dengan tempoh persaraan sekali gus dapat menjalani hari persaraan mereka dengan lebih bahagia," katanya.

Terdahulu Mohamad Zabidi dalam ucapannya berkata setiap penjawat awam perlu bersedia memiliki semangat dan daya juang yang tinggi dalam menjayakan agenda transformasi negara dan mendepani hari-hari mendatang.

Penjawat awam juga katanya perlu bersikap positif dan terbuka kepada perubahan serta menguasai ilmu serta kemahiran sekiranya mahu menjalani kehidupan yang sejahtera sama ada di pejabat atau dalam kehidupan seharian.--Bernama


JPA, kaunseling, penjawat awam

Artikel Lain