KUALA LUMPUR: Akibat termakan pujuk rayu seorang wanita jelita berpenampilan seksi, dua ahli perniagaan tempatan menerima padah apabila kerugian hampir RM50,000 selepas menjadi mangsa rakaman video aksi bogel. Sindiket merakam aksi bogel yang menggunakan wanita muda dari Filipina itu sebagai umpan menyasarkan ahli perniagaan dan orang kenamaan di laman sosial Facebook menggunakan nama 'Ashley Mhay Celeste'. Pengerusi Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan, Wilson Lau berkata, sindiket itu dikesan selepas beberapa mangsa membuat laporan mengenainya. Menurutnya, modus operandi sindiket itu menggunakan Facebook yang memaparkan wanita cantik dan seksi dengan menghantar permohonan untuk menjadi kenalan kepada mangsa. “Selepas diterima sebagai kenalan, wanita itu kemudiannya menggunakan kata-kata manis bagi memperdaya mangsa untuk bersembang di laman video Skype dan menanggalkan pakaian mereka bagi memujuk mangsa untuk turut berbogel. “Aksi bogel mangsa dirakam tanpa disedari sebelum ia dimuat naik di YouTube secara ‘private’ dan hanya boleh ditonton mangsa. “Sindiket itu akan memeras ugut mangsa untuk memberikan sejumlah wang sekiranya tidak mahu video bogel itu tersebar kepada umum,” katanya pada sidang media di Menara PGRM di sini, Khamis. Mengenai mangsa, Lau berkata, kedua-dua lelaki yang sudah berkeluarga itu mendakwa telah ditipu oleh ‘wanita cantik dari Filipina’ itu. “Mangsa pertama berusia 39 tahun apabila diminta sebanyak AS$10,000 tetapi lelaki berkenaan hanya sempat memberikan RM3,000 dengan alasan wang adalah milik syarikat selain disimpan isteri. “Seorang lagi mangsa pula berusia 43 tahun yang diugut supaya memberikan AS$50,000 dan berdasarkan maklumat diterima, lelaki itu berikan wang sebanyak dua kali, yang pertama sebanyak RM5,000 dan kedua RM40,000,” katanya. Menurut Lau, beliau percaya sindiket yang didalangi warga tempatan dan asing itu akan terus mencari mangsa menerusi Facebook. “Orang ramai dinasihatkan supaya jangan mudah percaya dengan kenalan yang tidak dikenali di laman sosial, terutama mereka yang cuba memujuk rayu dengan menggunakan gambar-gambar seksi dan ghairah. “Kita akan membuat laporan kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan Facebook bagi memantau perkara ini, termasuk akaun yang meragukan,” katanya.