suria

Status Permohonan Ke Universiti Awam Diumum Ogos

KUALA LUMPUR: Status permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA) bagi lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), matrikulasi dan yang setaraf dengannya bagi sesi 2015/2016 akan diumumkan Ogos ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata ketika ini proses pemilihan untuk penawaran tempat pengajian sedang dilaksanakan.

"Permohonan ke UA bagi lepasan (STPM), matrikulasi dan yang setaraf dengannya telah dibuka dari Januari hingga 12 April 2015," katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini, Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Chong Sin Woon yang ingin tahu langkah-langkah pemilihan calon mahasiswa ke UA bagi lepasan STPM dan Matrikulasi melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU) berdasarkan kriteria akademik serta kokurikulum.

Yap berkata kemasukan ke semua institusi pendidikan tinggi awam adalah berdasarkan prinsip meritokrasi di mana markah merit calon yang berjaya ditawarkan tempat pengajian akan berasaskan 90 peratus markah akademik dan 10 peratus kokurikulum.

Beliau berkata berdasarkan prinsip meritokrasi, hanya calon dan pemohon yang memperoleh markah merit tertinggi layak dipertimbangkan dan ditawarkan tempat pengajian, tanpa mengira etnik, agama, jantina, keturunan, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal.

Katanya, pemohon juga harus memenuhi syarat am universiti, syarat khas program pengajian serta kriteria-kriteria pemilihan yang ditetapkan oleh Senat Universiti antaranya bilangan tempat yang mampu disediakan, nisbah pensyarah dan pelajar serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran.

universiti awam, SPM

Artikel Lain