PETALING JAYA: Exco Pemuda Umno, Ibdilillah Ishak menyuruh Nik Nazmi Nik Ahmad supaya melihat dirinya sendiri di cermin terlebih dahulu sebelum memandang rendah terhadap sumbangan yang dilakukan orang lain. Dalam kenyataan pada Rabu, Nik Nazmi 'menyerang' Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berdasarkan kenyatannya yang mendakwa perhimpunan #KitaLawan tidak ada apa-apa berbanding Reformasi pada 1998. Khairy turut menegaskan bahawa Pemuda Umno terus akan berdiri teguh disisi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti mana beliau menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998. Berikutan itu, Nik Nazmi berkata, Khairy lebih baik berundur jika sokongannya berbelah bagi. Tambahnya, Reformasi berbeza jika dibandingkan dengan #KitaLawan kerana ketika bekas Perdana Menteri itu memimpim, ketua parti altenatif seperti Pakatan Rakyat belum lagi muncul. Ibdilillah berkata, sesuatu yang meloyakan apabila soalan mengenai sumbangan daripada Khairy ditimbulkan. Katanya, telah terbukti Nik Nazmi tidak sesuai untuk menjadi pemimpin apabila ahli exco Pemuda PKR membantah kemenangannya sebagai Ketua Pemuda itu tahun lalu. "Nik Nazmi patut cermin diri sendiri dahulu. Menyerang Khairy menggambarkan mereka sudah tidak ada idea. "Apa yang telah Nik Nazmi buat kepada Pemuda di Selangor sejak menjadi Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi selain mengajak golongan muda melakukan perhimpunan mempertahankan ketua PKR dan beberapa lagi ketua yang lain? "Apa penyelesaian yang Nik Nazmi berikan kepada pemuda-pemuda Selangor," soal Ibdilillah.