GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang membongkar sebuah makmal memproses dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.66 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Mertajam dan Simpang Ampat, Rabu malam. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam serbuan pada pukul 11 malam itu, polis turut menahan sepasang suami isteri dan rakan lelaki mereka yang kesemuanya berumur antara 47 dan 50 tahun. Beliau berkata, pasangan suami isteri itu bekerja sebagai peniaga manakala rakan mereka bekerja di sebuah syarikat swasta di Bukit Mertajam. "Sebuah bilik di rumah pasangan suami isteri terbabit dijadikan makmal memproses heroin, pil kuda dan syabu. Polis turut menemui serbuk pil kuda seberat 3,760 gram, syabu (1,500gram), heroin (1,000gram) dan ketamin (41gram). "Polis turut merampas pelbagai bahan kimia dan peralatan untuk memproses dadah serta sepucuk pistol angin berserta kelopak," katanya dalam sidang akhbar di sini, Khamis. Abdul Rahim berkata, susulan serbuan itu, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan Simpang Ampat, Nibong Tebal dekat sini pada pukul 3 pagi dan merampas syabu seberat 21 gram dan 40 biji pil ecstacy. Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi sejak enam bulan lepas dan mereka menghasilkan dadah sebelum diedar untuk pasaran negeri-negeri di utara tanah air. "Turut disita empat kenderaan dan wang tunai RM2,620. Jumlah keseluruhan nilai sitaan ialah RM150,000 manakala nilai dadah yang dirampas dalam dua buah rumah itu ialah RM2.66 juta," katanya. Beliau berkata, seorang daripada yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan semua mereka kini direman sehingga sehingga 21 April bagi membantu siasatan. Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata seorang daripada 26 lelaki yang diburu polis kerana disyaki anggota geng kongsi gelap telah menyerah diri manakala keluarga empat lagi lelaki terbabit menghubungi polis untuk memberikan kerjasama. Pada 10 April lepas, polis Pulau Pinang mengedarkan gambar 26 lelaki terdiri daripada anggota geng 04, 08 dan 36 berumur antara 22 hingga 36 tahun yang disyaki terlibat dengan pelbagai kes jenayah termasuk mempunyai rekod jenayah.-- Bernama