suria

Hasan Arifin Calon BN PRK Rompin

Hasan Arifin.

ROMPIN: Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, 5 Mei ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah Utama PRK Parlimen Rompin di Dataran Muadzam Shah, di sini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, bagi menunaikan tanggungawab yang menuntut kepada gerak kerja yang lebih kuat, BN mengetengahkan tokoh politik yang berpengalaman dan tidak asing lagi bagi penduduk Rompin.

"Pucuk pimpinan parti telah memutuskan Hasan paling sesuai dan layak untuk bertanding mewakili BN di Parlimen Rompin atas banyak faktor, salah satunya pengalamannya cukup banyak dalam urusan dan pentadbiran parti dan kerajaan," katanya.

Turut hadir, Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan barisan kepemimpinan Umno Pahang dan bahagian.

Hasan yang berasal dari Kampung Ayau, Leban Chondong pernah menjadi Timbalan Menteri Besar dari tahun 1995 sehingga 1999.

Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tioman dan Bukit Ibam selama empat penggal bermula 1990.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 April lalu.

Tragedi itu turut mengorbankan lima yang lain iaitu Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, juruterbang helikopter, Kapten Clifford William Fournier Jr; kenalan Fournier Aidana Baizieva, ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang dan pengawal peribadi Jamaludin, Razkan Seran.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Jamaludin mengekalkan kerusi Parlimen Rompin yang disandang sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd. Salleh dengan majoriti 15,114 undi.


Hasan Arifin, PRK Rompin, BN

Artikel Lain