KUALA LUMPUR: Generasi muda perlu membantu menyebarkan mesej keamanan bahawa perang merupakan satu jenayah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, mesej itu adalah penting kerana dunia akan menjadi lebih baik sekiranya adanya keamanan dan keharmonian. "Dalam kebanyakan negara yang bergolak kerana peperangan atau negara yang dilanda keganasan, kita sering kali melihat kanak-kanak sebagai golongan yang paling ramai menderita. "Lihat Timur Tengah, Palestin, Syria, Yaman dan Iraq, berapa ramai yang masih kecil sudah terkorban kerana perang," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad. Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata, generasi muda Malaysia seharusnya menghargai keamanan negara yang didiami mereka.