KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan bekerjasama dengan pembangkang walaupun beliau melancarkan serangan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sejak kebelakangan ini. "Tidak, saya tak bekerjasama dengan sesiapa untuk menjatuhkan Najib, pastinya bukan pembangkang. "Masalahnya adalah di dalam Umno sendiri," kata bekas perdana menteri itu kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad. Dr Mahathir bagaimanapun berkata, Najib perlu memahami sentimen rakyat dan adalah lebih baik bagi beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. "Kita harus ingat keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13. Prestasi Najib adalah lebih buruk berbanding Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi)," katanya. Tambahnya, Najib tidak mendapat sokongan walaupun sejumlah rakyat menyatakan sokongan mereka. "Percayalah saya, beliau tidak mendapat sokongan yang beliau perlukan," kata Dr Mahathir. Pada Sabtu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau sedia mengetepikan masalah lalu dan bekerjasama dengan Dr Mahathir sekiranya itu yang diperlukan untuk menyelamatkan negara.