KUALA LUMPUR: Pasukan mencari dan menyelamat pendaki Malaysia yang hilang Dennis Lee Thian Poh di Barat Nepal kini bersiap sedia untuk bergerak ke lokasi baharu berhampiran. Kaunselor/Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Fadli Adilah berkata, ini berikutan tidak adanya petunjuk jelas sehingga ini di lokasi mencari sekarang. Dalam kenyataan, beliau berkata usaha itu dijalankan semula hari ini melibatkan 21 orang termasuk polis Nepal, agensi trekking dan penduduk kampung di kawasan sekitar. Pada 5 April, Lee, 47, menyertai lapan rakan dari Filipina untuk mendaki sirkit Annapurna di Nepal. Kumpulan itu hanya menyedari ketiadaan beliau di Trek Khopra Danda di kawasan Ghorepani - pada hari pertama pendakian. Beliau akhir sekali dilihat di kawasan antara Khopra-Bayeli, pada altitud kira-kira 3,500 hingga 3,800 meter.